Tender terbuka kekang gejala 'tumbuk rusuk'

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan sistem tender terbuka dalam sebarang perkhidmatan dilihat mampu mengekang daripada gejala 'tumbuk rusuk' daripada terus berleluasa di negara ini.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, sistem berkenaan dilihat lebih telus dan setiap urusan dilakukan mengikut perjanjian yang telah ditetapkan sahaja.

“Sebarang kontrak perkhidmatan dan projek diberikan mestilah melalui tender terbuka. Lakukan penilaian sekurang-kurangnya melibatkan tiga buah syarikat yang kompeten dalam kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan.

“Setiap urusan dilakukan mengikut apa yang dimeterai sahaja terutamanya apabila melibatkan agensi kerajaan dan tidak boleh ada sebarang unsur timbal balik atau apa-apa sahaja pemberian berselindung...ia adalah rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai atasan sebuah syarikat pembekalan air di Johor, yang dipercayai menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada dua pemilik syarikat kontraktor.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 36 dan 40 tahun itu telah ditahan di pejabat SPRM Selangor.

Dalam pada itu, Zairuddin berkata, setiap organisasi perlu melantik pihak lain untuk melakukan pengawasan setiap masa dalam membabitkan sebarang projek atau perjanjian yang dilaksanakan.

“Di peringkat agensi kerajaan sudah ada jabatan integriti, jadi pihak swasta juga perlu melakukan hal sama kerana apabila sudah membabitkan jenayah rasuah, ia bukan sahaja burukkan nama individu didakwa malahan imej syarikat juga.

Artikel Berkaitan:

“Jangan jadikan perbuatan ini sebagai satu tabiat kerana ia akan berlaku berulang kali dan merosakkan sistem syarikat secara keseluruhan,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!