[VIDEO] Rasuah RM3.3 juta: CEO syarikat pembekalan air, pemilik syarikat direman 3 hari

A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua pegawai eksekutif syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat dipercayai menerima rasuah dan tuntutan palsu RM3.3 juta, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dibenarkan oleh Majistret Nurmadiana Mamat.

Kedua-dua suspek berusia 38 dan 35 tahun itu akan direman hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan kes rasuah itu mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009.

Mereka tiba ke Mahkamah Majistret Johor Bahru sekitar jam 9 pagi dengan diwakili peguam, Amarpreet Singh dan Ahmad Yusri.

Salah seorang suspek dibawa ke mahkamah pada Rabu.
Salah seorang suspek dibawa ke mahkamah pada Rabu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar jam 4 petang Isnin lalu bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi turut mengesahkan penahanan terbabit.

Penahanan tersebut berikutan siasatan ke atas beberapa aduan sekitar tahun 2023, yang menyatakan suspek telah menerima wang rasuah daripada pemilik dua syarikat kontraktor sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air tersebut.

Suspek juga dipercayai terlibat dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!