Hawana 2024 tonjol tema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan'

Fahmi menyampaikan ucapan pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional 2024 di Wisma Bernama pada Selasa.
Fahmi menyampaikan ucapan pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional 2024 di Wisma Bernama pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' diangkat sebagai tema Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Mei ini di Kuching, Sarawak.

Tema itu diumumkan pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hawana 2024 yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Wisma Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon.

Pada majlis tersebut, Fahmi turut melancarkan logo Hawana 2024 yang menampilkan bentuk Burung Kenyalang iaitu ikon Sarawak yang juga dikenali sebagai Burung Enggang Badak atau Burung Enggang Kenyalang (Rhinoceros Hornbill) dan dikategorikan sebagai spesies burung enggang terbesar di dunia.

Logo Hawana 2024 mempunyai empat warna yang terdapat pada bendera Malaysia iaitu merah, biru, putih dan kuning melambangkan kemajmukan budaya dan bangsa serta menggambarkan tiga wilayah, Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia.

Logo berkenaan juga dilengkapi dengan ilustrasi pena bagi menggambarkan dunia kewartawanan yang menulis dan melaporkan berita tanpa sempadan untuk kepentingan masyarakat.

Hawana 2024 di Kuching akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Tarikh 29 Mei dipilih sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Artikel Berkaitan:

Hawana pertama kali diadakan pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur bertemakan 'Membela Bangsa, Membina Nasional' dan berjaya menghimpunkan 1,000 pengamal media dari seluruh tanah air.

Hawana tidak diadakan selama tiga tahun sejak 2019 hingga 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Pada 2022 Hawana dianjurkan kembali bertemakan 'Suara Jelata, Aspirasi Negara' dengan diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (kini Kementerian Komunikasi) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Bernama selaku penganjur.

Tahun lepas, Bernama sekali lagi menjadi penganjur Hawana yang berlangsung di Ipoh, Perak dengan tema 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi'. - Bernama

_____________________________________________________________________________________________________________

Majlis Bersama Rakan Strategik Hawana 2024

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Isnin merasmikan Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024.

Sebanyak 27 rakan strategik telah menyatakan komitmen dan sokongan bagi menjayakan Hawana 2024 yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Mei, 2024 di Kuching, Sarawak.

Pusat borong terbesar Malaysia, GM Klang dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) antara rakan strategik yang menyampaikan tajaan bagi penganjuran HAWANA yang memasuki edisi keempat tahun ini.

Fahmi (kanan) menerima baju sempena penganjuran Hawana 2024 yang disampaikan oleh Nur-ul Afida pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hawana 2024 di Wisma Bernama pada Selasa.
Fahmi (kanan) menerima baju sempena penganjuran Hawana 2024 yang disampaikan oleh Nur-ul Afida pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hawana 2024 di Wisma Bernama pada Selasa.

Replika cek sumbangan disampaikan kepada Fahmi pada majlis yang berlangsung di Wisma Bernama di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon.

Selain GM Klang dan KKDW, Hawana 2024 turut menerima tajaan daripada Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), CelcomDigi Berhad, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Wasco Management dan British Malaysia Chamber of Commerce.

Turut menaja ialah Bank Islam Malaysia Berhad, Malaysian Palm Oil Berhad, Public Bank Berhad, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ninja Van Malaysia, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Rakan Strategik lain ialah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, PerbadananTabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agrobank,Tune Protect Group, Co-opbank Pertama dan Oldtown White Coffee Malaysia.

MR D.I.Y Ecommerce (M) Sdn Bhd, Mamee, Holiday Villa Hotels & Resort, Johor Plantation Group Berhad, Sunway Lagoon Marketing Sdn Bhd, MOMAwater dan AirAsia turut menjadi rakan strategik.

Majlis Kemuncak Hawana 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei ini.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara anggota ASEAN dijemput menghadiri Hawana 2024 yang bakal menghimpunkan fraterniti media profesional dan pakar industri sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

Perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu akan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Bernama adalah agensi pelaksana program ini.

Pelbagai aktiviti telah dirangka bagi mengisi penganjuran Hawana 2024 antaranya Persidangan Media Sarawak dan Pameran HAWANA 2024 di Kuching, manakala acara sukan untuk pengamal media seperti bola sepak, bola jaring serta boling dijangka diadakan di beberapa lokasi lain.

Buat julung-julung kalinya juga, Hawana 2024 menampilkan Program Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa yang akan memberi pendedahan kepada mahasiswa universiti mengenai dunia media.

Program itu akan melibatkan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media selain sumbangan peralatan untuk kegunaan universiti/fakulti dan mahasiswa.

Tabung Kasih@Hawana yang menyantuni wartawan serta petugas media seluruh negara sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, sebagai manifestasi keprihatinan dan sokongan Kementerian Komunikasi serta komuniti media kepada rakan-rakan seperjuangan yang memerlukan bantuan juga diteruskan.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!