Perak tuan rumah Hari Anggota Bomba Sedunia 2024

Perak menjadi tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 4 Mei depan. Foto fail Bernama
Perak menjadi tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 4 Mei depan. Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Perak menjadi tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 4 Mei depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program sehari berlangsung di Tambun itu bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dan acara menarik ditampilkan antaranya perbarisan kawalan kehormat bomba, perarakan kontinjen perbarisan daripada pelbagai unit, demonstrasi bom air dari helikopter, pertunjukkan ular dan penampilan khas ‘abang sado’.

"Sambutan tahun ini agak istimewa kerana kita berjaya membawa Hari Anggota Bomba Sedunia ke negeri Perak di kawasan Parlimen Perdana Menteri," katanya sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DAP bersama Media Perak di Warung Theater @ Cathay di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, peruntukan RM267 juta untuk perolehan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seperti diumum sebelum ini diharap dapat membantu meningkatkan keupayaan pasukan itu dalam tugas menyelamat.

Katanya, situasi semasa menunjukkan khidmat pasukan bomba bukan setakat memadam kebakaran tetapi diperlukan dalam khidmat kemanusiaan dan kes-kes kecemasan lain.

"Sekarang kes buaya pun panggil bomba seperti beberapa hari lepas, anggota kita bantu pindahkan buaya di Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Itu tidak termasuk lagi ular, sarang tebuan dan sebagainya yang semuanya perlukan khidmat bomba dan kerana itulah tahun ini kita beri peruntukan paling tinggi dalam sejarah kepada pasukan ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28