Biotoksin masih lebih had selamat, penternak diminta jangan jual kupang - DOF

Semua penternak kupang di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Melaka diminta tidak menjual produk hidupan laut itu kerana ujian makmal masih mengesan biotoksin melebihi kadar had pengambilan yang selamat. Gambar hiasan.
Semua penternak kupang di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Melaka diminta tidak menjual produk hidupan laut itu kerana ujian makmal masih mengesan biotoksin melebihi kadar had pengambilan yang selamat. Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua penternak kupang di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Melaka diminta tidak menjual produk hidupan laut itu kerana ujian makmal masih mengesan biotoksin melebihi kadar had pengambilan yang selamat.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, ia adalah hasil daripada ujian makmal yang dijalankan ke atas sample kupang dan air yang diambil dari kedua-dua kawasan perairan itu.

"DOF mengambil sampel setiap minggu di kedua-dua perairan ini untuk memantau tahap biotoksin yang ada, sama ada dalam air atau pada kupang.

"Buat masa ini, daripada analisis yang dijalankan Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur dan Makmal Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang, kedua-duanya secara konsisten menunjukkan kadar biotoksin masih lagi tinggi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri DOF di sini hari ini.

Laporan Sinar Harian berkenaan kupang di Port Dickson.
Laporan Sinar Harian berkenaan kupang di Port Dickson.

Adnan berkata, ujian makmal berkenaan turut mendapati sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari alga spesies ‘Alexandrium’ yang berbahaya kepada manusia.

Beliau berkata, menurut standard Codex Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar biotoksin selamat untuk manusia ialah 800 per bilion (ppb).

Pada 2 April lepas, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang, susulan itu DOF menjalankan analisis makmal dan mendapati kupang dari kedua-dua perairan itu dicemari biotoksin serta alga spesies ‘Prorocentrum’, ‘Alexandrium’ dan ‘Pseudonitzschia’ berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Adnan menasihatkan mana-mana pihak yang menangkap ‘ikan bandaraya’ atau ‘pleco’ agar tidak melepaskan spesies itu di kawasan hidupan air seperti sungai kerana ia boleh menjejaskan ekosistem spesies habitat ikan asli.

"Kalau kita tengok pada mana-mana sungai yang tercemar, ada habibat asli sungai akan mati tetapi ikan bandaraya boleh hidup dan membiak dengan cepat. Ini sedikit merunsingkan kita,” katanya.

Beliau berkata, DOF menyarankan dua kaedah pelupusan ikan bandaraya iaitu dengan menanam di tempat bersesuaian dan menjadikan ia sebagai baja tanaman atau makanan ikan ternakan.

"Sekiranya mereka tidak tahu bagaimana nak lupuskan ikan ini, kalau ada dalam kuantiti yang banyak, boleh berhubung dengan mana-mana pejabat DOF berhampiran untuk kita bantu dari segi pelupusan ikan ini,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!