[VIDEO] Pemuda UMNO mahu pendakwaan kes stoking kalimah ALLAH dikekalkan

A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berharap Peguam Negara kekal dan tidak berganjak daripada keputusan untuk meneruskan pendakwaan terhadap KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH.

Dr Muhamad Akmal dalam satu kenyataan berkata, ia bagi memelihara sensitiviti masyarakat umum, khasnya masyarakat Islam yang telah terkesan akibat insiden dan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Katanya, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberikan Peguam Negara kuasa budi bicara sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding kes jenayah di Mahkamah.

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Dr Muhamad Akmal (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Dr Muhamad Akmal (kanan).

"Mengemukakan surat representasi pula adalah salah satu kaedah biasa digunakan oleh tertuduh yang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah untuk meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula pertuduhan yang dikenakan.

"Tetapi bagi kes ini, Peguam Negara telah melakukan satu keputusan yang tepat selepas memberikan pertimbangan sewajarnya untuk menuduh mereka," ujarnya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri yang juga Pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui merancang untuk mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas pertuduhan mereka yang dikaitkan dengan stoking tertera kalimah ‘ALLAH’.

Mahkamah menetapkan 10 Jun 202 untuk pengurusan kes dan status representasi. Kee Kan dan Siew Mui didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut dituduh tiga individu lain yang juga pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd, yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart.

Tambah Muhamad Akmal, ia adalah satu kes berkepentingan awam yang serius dan tidak sewajarnya dipandang remeh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!