Perak FC tak terlibat isu tunggakan gaji bekas pemain import Korea Selatan

Bobie Farid. Foto fail Bernama
Bobie Farid. Foto fail Bernama
A
A
A

PERAK FC telah melunaskan pembayaran keseluruhan gaji bekas penyerang import dari Korea Selatan, Seo Seon-ung kepada ejen pemain berkenaan, mengikut syarat dan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bobie Farid Shamsudin berkata, Seon-ung telah menandatangani kontrak selama setahun bersama The Bos Gaurus dan dalam tempoh itu pihak Perak FC tidak pernah gagal untuk melunaskan bayaran kepada ejen pemain itu.

"The Bos Gaurus tidak mahu terpalit dengan masalah yang berlaku membabitkan pemain berusia 24 tahun itu.

"Penjelasan ini juga bagi menjernihkan kedudukan sebenar dan memberi pemahaman kepada semua pihak berkenaan masalah yang berlaku membabitkan pemain itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 26 April lepas, Seon-ung mendedahkan tidak menerima bayaran gaji selama enam bulan sepertimana dikongsikann dalam hantaran di Instastory peribadinya.

Untuk rekod, Seon-ung menyertai skuad The Bos Gaurus bersama-sama beberapa pemain Korea Selatan lain di bawah kendalian ejen dari negara itu, Leo Jeong.

Bobie Farid berkata, gaji diterima Seon-ung adalah sekitar RM12,000 sebulan selain Perak FC turut menanggung kos sewaan kediaman serta kenderaan digunakan sepanjang menyarung jersi pasukan itu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Bobie Farid berkata, pihaknya memberi kebenaran kepada pemain Perak III untuk mewakili negeri pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching, Sarawak pada Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara itu dipersetujui selepas perbincangan semula antara Perak FC bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah dan Majlis Sukan Negeri (MSN) minggu lepas.

"Memang pada awalnya kita ada keluar kenyataan bahawa akan tarik diri daripada Sukma disebabkan menanggung kos agak besar namun selepas perbincangan dilakukan, kita bersetuju dengan syarat-syarat diletakkan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Perak FC dilaporkan berkemungkinan tidak dapat melepaskan pemain bawah 20 tahun mereka untuk menyertai temasya Sukma di Sarawak atas faktor tajaan dan kekurangan sokongan kewangan.

Untuk rekod, pasukan bola sepak Perak pernah merangkul hatrik pingat emas temasya Sukma pada edisi 2014, 2016 dan terakhir 2018 di Ipoh. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!