Piala Uber: Taiwan berdepan juara bertahan Korea Selatan di suku akhir

Baek Ha Na (kiri ) dan Lee So Hee dari Korea Selatan meraikan kejayaan selepas memenangi perlawanan beregu menentang Maiken Fruergaard/Sara Thygesen dari Denmark semasa perlawanan kumpulan D di Pusingan Akhir Piala Uber di Chengdu semalam. - Foto: Xinhua
Baek Ha Na (kiri ) dan Lee So Hee dari Korea Selatan meraikan kejayaan selepas memenangi perlawanan beregu menentang Maiken Fruergaard/Sara Thygesen dari Denmark semasa perlawanan kumpulan D di Pusingan Akhir Piala Uber di Chengdu semalam. - Foto: Xinhua
A
A
A

SELEPAS mengungguli Kumpulan D, Korea Selatan akan meneruskan kempen mempertahankan Piala Uber apabila bertemu Taiwan dalam suku akhir pada edisi 2024 kejohanan itu di sini.

Berdasarkan majlis undian di Chengdu High-Tech Zone Spots Centre hari ini, pasukan diketuai perseorangan wanita nombor satu dunia, An Se Young itu akan bertemu naib johan Kumpulan B tersebut, Jumaat ini.

Jika berjaya menewaskan Taiwan, juara dua kali itu akan bertemu sama ada johan tiga kali, Indonesia, yang layak ke suku akhir sebagai naib johan Kumpulan C atau juara Kumpulan B, Thailand, dengan perlawanan antara kedua-dua pasukan turut dijadualkan pada Jumaat.

Tuan rumah dan juara Kumpulan A, China pula akan menentang naib johan Kumpulan D, Denmark, esok.

China, yang merupakan pasukan paling cemerlang dalam sejarah Piala Uber dengan 15 gelaran, bakal bertemu sama ada juara enam kali atau pemenang Kumpulan C, Jepun atau naib johan Kumpulan A, India.

Pertembungan Jepun-India akan berlangsung esok manakala aksi separuh akhir dijadualkan Sabtu ini dan final pada Ahad. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: