Ketua pembangkang menang pilihan raya presiden Congo

Ketua pembangkang Felix Tshisekedi memenangi pilihan raya presiden Republik Demokratik Congo. - Foto AP
Ketua pembangkang Felix Tshisekedi memenangi pilihan raya presiden Republik Demokratik Congo. - Foto AP
A
A
A

KINSHASA - CONGO. Suruhanjaya Pilihan Raya Republik Demokratik Congo hari ini mengumumkan ketua pembangkang Felix Tshisekedi sebagai pemenang pilihan raya presiden yang diadakan pada 30 Disember lalu.

Keputusan terbabit boleh membawa kepada pemindahan kuasa demokrasi pertama Congo sejak kemerdekaan dari Belgium pada tahun 1960, dengan Presiden Joseph Kabila yang telah mentadbir selama 18 tahun dijangka melepaskan jawatan dalam masa beberapa hari lagi.

Menurut Presiden Suruhanjaya Pilihan Raya (CENI), Corneille Nangaa, Tshisekedi mendapat lebih tujuh juta undi berbanding seorang lagi calon pembangkang, Martin Fayulu yang mendapat 6.4 juta undi manakala calon pilihan Kabila, Emmanuel Ramazani Shadary memperoleh kira-kira 4.4 juta undian.

Kemenangan terbabit bagaimanapun mencetus spekulasi bahawa Tshisekedi yang sebelum ini berada di belakang Fayulu dalam undian pendapat, telah mengadakan perjanjian kongsi kuasa bersama Kabila.

Pasukan kempen Tshisekedi mengaku terdapat komunikasi dengan wakil Kabila sejak pilihan raya namun menafikan sebarang bentuk perjanjian.

Sementara itu calon yang tewas, termasuk Fayulu dan Shadary boleh mencabar keputusan pilihan raya terbabit di Mahkamah Perlembagaan Congo yang mempunyai tempoh 10 hari untuk mendengar dan membuat keputusan berhubung sebarang bantahan. - Reuters

Artikel Berkaitan: