Pemilik stesen minyak, jangan gentar buat laporan - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution (kanan) menyempurnakan perasmian Karnival Pencegahan Jenayah di Perumahan Awam Sri Sabah, pada Sabtu. Turut hadir Razarudin. Foto Bernama
Saifuddin Nasution (kanan) menyempurnakan perasmian Karnival Pencegahan Jenayah di Perumahan Awam Sri Sabah, pada Sabtu. Turut hadir Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha stesen minyak digesa membuat laporan polis sekiranya menerima sebarang ugutan daripada sindiket penyeludupan diesel bersubsidi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kumpulan pengusaha stesen minyak tidak perlu takut, sebaliknya tampil memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menyiasat ugutan yang diterima.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap apa jua jenayah termasuk perkara bersifat ugutan atau ancaman.

"Jika ada pihak sindiket membuat ancaman atau ada elemen ugutan, pihak pengusaha stesen minyak perlu membuat laporan polis dengan segera.

"Perkara seumpama ini pastinya akan disiasat pihak polis kerana ia perbuatan jenayah dan dalam bidang kuasa PDRM.

"Jika ada laporan polis berhubung jenayah ini, maka tindakan atau siasatan boleh dijalankan oleh pihak polis," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sempena Karnival Pencegahan Jenayah kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan rakan strategik serta komuniti setempat di perumahan awam Flat Sri Sabah, dekat sini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ugutan yang diterima.

Menurut beliau, semua stesen minyak sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang menerima ancaman atau ugutan diminta supaya membuat laporan secara rasmi kepada KPDN.

Tegas beliau, pengusaha stesen minyak tidak perlu bimbang kerana semua maklumat akan dirahsiakan.

Safuddin berkata, sekiranya PDRM ada menerima laporan daripada pihak yang menerima ugutan, siasatan segera akan dijalankan dengan kerjasama KPDN.

Kata beliau lagi, KPDN juga akan menjalankan siasatan terhadap stesen minyak yang dikesan menjual diesel atau petrol subsidi dengan jumlah yang besar tidak munasabah.

"Lesen untuk stesen minyak di negara dikawal selia oleh KPDN, manakala kuota jualan dan subsidi dikawal selia oleh Kementerian Kewangan," ujarnya.

Sementara itu, Razarudin memaklumkan pihak PDRM masih belum menerima sebarang laporan berhubung ugutan daripada pengusaha stesen minyak setakat ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!