Lelaki ragut wanita di Klang menangis dijel lima tahun, dua sebatan

Muhammad Syafi’ei dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada Khamis.
Muhammad Syafi’ei dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Lelaki yang meragut seorang wanita lalu melarikan diri ke Langkawi, Kedah, menangis selepas dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan merompak serta mencederakan mangsa berusia 20 tahun, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Syafi’ei Hasan, 24, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 21 April lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak, dengan sengaja menyebabkan cedera kepada mangsa di Jalan Persiaran Raja Muda Musa berdekatan hadapan Sekolah Menengah Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang di sini pada jam 8.50 pagi, 15 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang menangis dan mengesat air mata menggunakan baju, merayu dikenakan hukuman ringan selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama kerana insaf.

"Ibu bapa saya telah tua dan mereka mempunyai penyakit darah tinggi dan gout," katanya yang tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi berkata, kejadian tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan boleh meragut nyawanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia merupakan kesalahan yang serius, malah menerusi video yang tular di media sosial, akibat perbuatan tertuduh, mangsa telah terjatuh atas jalan raya namun bernasib baik kerana tiada kenderaan lain ketika kejadian.

Sebelum ini, seorang wanita yang menunggang motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja cedera selepas diragut di lokasi kejadian.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC, telah dihampiri sebuah motosikal Yamaha Y15 berwarna gelap.

Suspek kemudian bertindak menarik beg silang dipakai mangsa menyebabkan wanita itu hilang kawalan lalu terjatuh dan mengalami kecederaan di kedua-dua tapak tangan, lutut dan bahu kiri.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek berjaya ditahan selepas melarikan diri menggunakan motosikal di Langkawi.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek baru selesai menjalani hukuman dan keluar dari penjara sekitar awal bulan ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!