Bekas banduan ragut di Klang, lari ke Langkawi sebelum diberkas

Cha Hoong Fong (kiri), Laporan Sinar Harian
Cha Hoong Fong (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang dipercayai meragut seorang wanita di Jalan Persiaran Raja Muda Musa sebelum ini bertindak nekad melarikan diri sehingga Langkawi sebelum diberkas pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan motosikal berjaya dikesan di Langkawi, Kedah.

"Suspek diberkas kira-kira jam 4.15 petang di kawasan sekitar Pekan Kuah, Langkawi sebelum dibawa pulang untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 24 tahun dipercayai baru selesai menjalani hukuman dan keluar dari penjara sekitar awal April lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Isnin.

Hoong Fong (dua,kiri) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir Majlis Sambutan Aidilfitri Bahagian Pencegahan Jenayah dan Kesalamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Isnin.
Hoong Fong (dua,kiri) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir Majlis Sambutan Aidilfitri Bahagian Pencegahan Jenayah dan Kesalamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Isnin.

Menurutnya, suspek turut dikesan memiliki lima rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

"Suspek direman empat hari dan siasatan lanjut berkaitan kes masih dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu, seorang wanita yang menunggang motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja cedera akibat terjatuh selepas diragut dalam kejadian di Jalan Persiaran Raja Muda Musa di sini.

Kejadian berlaku pada jam 8.50 pagi ketika mangsa berusia 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina tiba-tiba dihampiri sebuah motosikal Yamaha Y15 berwarna gelap.

Suspek kemudian bertindak menarik beg silang dipakai mangsa menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dan cedera di kedua-dua tapak tangan, lutut dan bahu kiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!