Baru 20 hari keluar penjara, kembali ragut beg wanita

Anbalagan (tengah) menunjukkan barangan kes yang dirampas daripada kes ragut di Bandar Puchong Jaya, Selangor baru-baru ini.
Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Anbalagan (tengah) menunjukkan barangan kes yang dirampas daripada kes ragut di Bandar Puchong Jaya, Selangor baru-baru ini. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

SERDANG - Tidak pernah serik! Seorang bekas banduan kembali melakukan jenayah walaupun baru sahaja 20 hari keluar daripada penjara setelah menjalani hukuman jel selama sembilan tahun kerana kesalahan samun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek yang baru bebas daripada Penjara Kajang, Selangor melakukan jenayah meragut berhampiran Jalan Merak, Bandar Puchong Jaya, dekat sini pada 26 Februari lalu jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, suspek bersama seorang lagi rakan jenayah dikenali sebagai Geng Kabil meragut beg seorang wanita berusia 58 tahun yang sedang berjalan kaki.

"Namun perbuatan suspek berusia 33 tahun melakukan perbuatan ragut terbongkar apabila dirinya dikesan pada rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

"Rakan kepada suspek berusia 27 tahun turut ditahan pada Isnin, jam 2.30 petang di Bandar Kinrara, dekat sini," katanya ketika sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Jumaat.

Anbalagan (tiga dari kanan) menunjukkan barangan kes yang dirampas daripada kejadian ragut di Bandar Puchong Jaya, Selangor baru-baru ini. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Anbalagan (tiga dari kanan) menunjukkan barangan kes yang dirampas daripada kejadian ragut di Bandar Puchong Jaya, Selangor baru-baru ini. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.

Anbalagan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek kembali melakukan jenayah disebabkan tiada pekerjaan dan memerlukan duit bagi mendapatkan bekalan dadah.

"Suspek mempuyai dua rekod lampau membabitkan dadah serta dua rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja, methamphetamine serta amphetamine," katanya.

Jelas beliau, suspek juga mengaku melakukan kegiatan ragut di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor.

"Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan direman selama tujuh hari bermula Selasa sehingga 18 Mac ini," ujarnya.

Sementara itu bagi kes kedua, Anbalagan berkata, pihaknya menahan dua individu dipercayai terlibat dalam kes ragut di Bandar Puchong Jaya, dekat sini pada 8 Mac lalu.

Menurut beliau, mereka dikenali dengan nama Geng RS Kuning dipercayai meragut beg silang yang digalas oleh seorang wanita berusia 27 tahun semasa sedang berjalan kaki.

Katanya, hasil risikan dijalankan, kedua-duanya berjaya ditahan pada Rabu jam 10.30 malam di Shah Alam, Selangor.

"Seorang daripada suspek yang berusia 29 tahun mempunyai enam rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah, manakala seorang lagi tiada rekod lampau.

"Kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah dan direman selama tujuh hari bermula 13 Mac bagi membantu siasatan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28