Lelaki lemas di Air Terjun Sekayu ketika cuba selamatkan rakan

Mangsa dipercayai lemas selepas menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam air sewaktu mendaki laluan berbukit di tepi kawasan air terjun itu. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Mangsa dipercayai lemas selepas menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam air sewaktu mendaki laluan berbukit di tepi kawasan air terjun itu. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
A
A
A

KUALA BERANG - Kegembiraan enam sekawan bercuti di Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, pagi Rabu.

Dalam kejadian itu, Syafiq Haikal Sharudin, 25, dipercayai lemas selepas menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam air sewaktu mendaki laluan berbukit di tepi kawasan air terjun itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.18 pagi sebelum menggerakkan sebuah jentera dan 10 anggota termasuk tiga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, semua rakan mangsa dan beberapa orang awam berkumpul di tempat kejadian, bagaimanapun mangsa sudah tidak kelihatan di permukaan.

"Setelah melakukan skin dive, anggota PPDA berjaya menemukan mangsa di celah batu pada kedalaman 1.5 meter di lokasi mangsa dilaporkan hilang pada jam 12.15 tengah hari,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Zulhisham berkata, mayat mangsa yang berasal dari Padang Hiliran, Kuala Terengganu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, rakan mangsa, Daniel Asmadi, 25, berkata, percutian mereka berenam ke situ dibuat secara mengejut, namun tidak menyangka ia bertukar menjadi tragedi hitam yang meragut nyawa Syafiq Haikal.

"Kami bertolak dari Kuala Terengganu kira-kira jam 9 pagi dan sampai di Sekayu, pada 10 pagi. Selepas itu, tiga daripada kami hiking untuk ke bahagian atas air terjun dan tiga lagi rakan saya berehat di atas batu di air terjun.

Artikel Berkaitan:

"Tiba-tiba, saya hilang keseimbangan sebelum tergelincir dan hampir lemas. Syafiq Haikal kemudiannya hulur kaki untuk saya berpaut. Malangnya, dia pula tergelincir dan jatuh ke dalam air," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Daniel berkata, dia kemudian cuba menarik tangan Syafiq Haikal, namun tidak berjaya.

"Saya berasa sangat terkilan kerana tak dapat selamatkan Syafiq Haikal. Apatah lagi, dia pergi kerana cuba selamatkan saya," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!