Seniman juga berdepan risiko kerja

Steven Sim (dua dari kanan) dan Fahmi (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara Kesuma dan Kementerian Komunikasi di ibu kota pada Selasa.
Steven Sim (dua dari kanan) dan Fahmi (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara Kesuma dan Kementerian Komunikasi di ibu kota pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menguatkuasakan caruman PERKESO kepada penggiat seni sebagai syarat utama untuk syarikat produksi mendapatkan kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerjasama antara PERKESO dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Kementerian Komunikasi itu amat bertepatan kerana penggiat seni perfileman turut berdepan risiko bencana kerja.

Menurutnya, caruman dan pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berperanan sebagai penampan terbaik terhadap sebarang kesan luar jangka yang berupaya merencatkan penggiat sektor layar perak dengan sumbangan kira-kira 1.9 peratus atau RM28.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru katanya, Finas bersetuju menggariskan prasyarat daftar dan mencarum PERKESO kepada semua penggiat seni perfileman berikutan kebanyakan mereka bekerja berdasarkan projek tanpa mengira waktu sehingga meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja.

“Melalui pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara PERKESO bersama Kementerian Komunikasi menerusi Finas, ia berupaya menambah baik kebajikan serta melindungi semua penggiat di bawah industri kesenian, terutama perfileman untuk mendapatkan perlindungan PERKESO.

“Selain penggiat seni di bawah industri perfileman, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi PERKESO juga berharap agar penggiat seni lain seperti piecemeal, stringer, penerbit rancangan, penyanyi dan pempengaruh serta persatuan-persatuan industri seni kreatif yang terlibat di bawah sektor kesenian turut mencarum PERKESO, sekali gus menjamin keselamatan sosial pekerjaan mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis MoU yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman.

Jelasnya, seramai 3,120 individu daripada sektor kesenian di Malaysia adalah pencarum aktif SKSPS setakat 12 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Steven Sim turut mengumumkan inisiatif baharu di bawah SKSPS iaitu Bantuan Khairat Kematian (BKK) berjumlah RM1,000 untuk menampung kos pengebumian pencarum SKSPS berkuat kuasa 1 Mac 2024 bagi kematian yang berlaku sepanjang tahun ini meliputi 20 sektor bawah skim itu.

Jelasnya, antara tanggungjawab sosial korporat Kesuma menerusi PERKESO dengan BKK disalurkan kepada orang tanggungan atau waris orang berinsurans yang meninggal dunia tanpa kaitan dengan pekerjaan tetapi merupakan pencarum aktif serta memiliki sekurang-kurangnya 12 bulan caruman pada masa kematian.

Sementara itu Fahmi berkata, golongan seniman sering berdepan cabaran dalam kerjaya mereka.

Menyedari senario tersebut, beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kesuma mengambil inisiatif untuk memastikan pelaksanaan program berkenaan.

“Inisiatif ini akan memanfaatkan 4,500 penggiat seni dengan nilai caruman sebanyak RM232.80 setahun setiap seorang dengan 90 peratus nilai caruman ditanggung oleh kerajaan.

“Untuk baki 10 peratus lagi, ia akan ditaja oleh Finas bermakna nilai tajaan buat 4,500 penggiat seni adalah sebanyak RM104,850,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!