Segerakan caruman PERKESO untuk wartawan sambilan - Fahmi

Fahmi Fadzil (kanan) menziarahi keluarga wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza Kamarudin yang meninggal dunia di London pada 28 Disember lepas, di kediaman Allahyarhamah di Ampang pada Sabtu. Foto Bernama
Fahmi Fadzil (kanan) menziarahi keluarga wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza Kamarudin yang meninggal dunia di London pada 28 Disember lepas, di kediaman Allahyarhamah di Ampang pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk wartawan khususnya 'stringer' atau wartawan sambilan perlu disegerakan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan semua pengamal media mendapat manfaat daripada PERKESO termasuk Pencen Ilat yang lebih menjamin keselamatan sosial pekerjaan.

"Kita perlu perjuangkan dan pastikan rakan-rakan media merupakan pencarum sama ada bekerja sepenuh masa atau separuh masa kerana tanpa rakan media kita takkan dapat berita... tidak kira penyunting atau jurugambar, " katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Fahmi berkata beliau telah meminta beberapa persatuan pengamal media termasuk Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

Fahmi Fadzil (kiri) beramah mesra bersama suami Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin Mohd Roshidi (dua dari kanan) ketika menziarahi keluarga wartawan hiburan itu pada Sabtu. Foto Bernama
Fahmi Fadzil (kiri) beramah mesra bersama suami Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin Mohd Roshidi (dua dari kanan) ketika menziarahi keluarga wartawan hiburan itu pada Sabtu. Foto Bernama

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga wartawan hiburan portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media, Siti Nor Hafiza Kamarudin yang meninggal dunia di London 28 Disember lepas, di kediaman Allahyarhamah di Ampang di sini.

Turut sama menziarah keluarga Allahyarhamah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang juga penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.

Sementara itu, ibu Allahyarhamah, Siti Nooriah Hasan, 69, reda dengan pemergian anak sulungnya yang disifatkan sebagai anak yang banyak berbakti kepada ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Setiap tahun pada Hari Raya arwah mesti akan balik tolong kemas rumah dan pelbagai persiapan lain, pasti akan terasa ketiadaan dia pada Hari Raya akan datang," katanya.

Wartawan hiburan majalah Suria7, Asraf Aided pula menyifatkan Siti Nor Hafiza sebagai sahabat yang periang dan sering menjadi penceria suasana.

"Allahyarhamah juga seorang yang tabah, kuat dan pejuang dalam melawan penyakitnya (kanser payudara), dia tidak pernah menzahirkan kesakitan walaupun kita yang nampak dia lemah dan tidak sihat, " katanya yang pernah bertugas bersama Siti Nor Hafiza di Astro Gempak.

Siti Nor Hafizah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Jalan Kuala Lumpur-Karak di sini kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

Siti Nor Hafiza, 40, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Charing Cross pada 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) pada 28 Dis lepas dan meninggalkan suami Mohd Roshdi Ramli, 40, dan dua cahaya mata Riyadh Haziq berusia 10 tahun dan Raisya Hannah, 8. - Bernama