Prospek ringgit dijangka positif tahun ini - Penganalisis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka mengukuh tahun ini disokong oleh beberapa pemangkin penting yang boleh meningkatkan nilai mata wang tempatan.

Saktiandi Supaat, ketua penyelidikan dan strategi pertukaran asing, pasaran global di Maybank Singapore berkata, dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) berkemungkinan akan melonggarkan kitaran monetarinya tidak lama lagi, landskap kadar sepatutnya lebih menguntungkan bagi ringgit memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadarnya sepanjang 2024.

"Ahli ekonomi kita berpandangan bahawa 2024 boleh menjadi tahun lonjakan bagi ekonomi Malaysia dengan pelan tindakan, pelan induk seperti rangka kerja Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang bakal dilaksanakan, dan pembaharuan fiskal serta penstrukturan semula ekonomi menjadi tumpuan utama.

"Pelaksanaan berperingkat rasionalisasi subsidi bahan api juga boleh meningkatkan keyakinan terhadap ringgit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, 2024 boleh menjadi tahun yang lebih baik bagi ringgit selagi persekitaran luaran kekal positif bagi mata wang tempatan.

Faktor-faktor luaran

Ketika ini ringgit berlegar di paras 4.77 berbanding dolar AS.

Saktiandi berkata nilai ringgit masih rendah dan trend ini telah berterusan sejak kejatuhan harga minyak manakala dolar AS mendapat tarikan sebagai mata wang selamat susulan data makro negara itu yang kekal kukuh.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai mata wang rizab dan mata wang pembayaran, sokongan pengelakan risiko terhadap dolar AS dijangka berterusan sehingga Fed memberi bayangan akan mula secara rasmi mengurangkan kadarnya atau trajektori prospek penurunan inflasi AS terus kekal,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan ringgit mungkin berubah sekiranya Fed menurunkan kadar dan hasil mula susut kerana perbezaan kadar boleh menjadi pemacu penting bagi ringgit berbanding dolar AS.

Selain itu, ekonomi China yang bertambah baik dan/atau rangsangan fiskal dari negara itu boleh menambah sokongan kepada yuan dan pasaran serantau.

"Selagi ekonomi Malaysia terus mencatatkan peningkatan dari segi prospek eksport dan pelaburan, pemacu asas makro akan terus menyokong,” katanya.

Ringgit berbanding mata wang serantau

Saktiandi berkata, dari 22 Mac hingga hari ini, ringgit hanya turun sebanyak 0.88 peratus berbanding dolar AS.

Secara perbandingan, beliau berkata, rupiah Indonesia, won Korea, yen Jepun, dolar Taiwan, peso Filipina, baht Thailand dan dolar Singapura mencatatkan prestasi lebih buruk daripada ringgit berbanding dolar AS apabila mata wang berkenaan masing-masing menyusut 2.9 peratus, 2.8 peratus, 2.2 peratus, 2.1 peratus, 2.0 peratus, 1.80 peratus dan 0.9 peratus.

"Yen, rupiah, won, peso dan baht, sebagai contoh, berdepan aliran portfolio khusus dan/atau isu berkaitan domestik termasuk dasar serta kebimbangan fiskal yang mungkin telah memburukkan lagi impaknya ke atas mata wang dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pasaran kewangan Malaysia agak berdaya tahan berbanding pasaran serantau lain walaupun terdapat pertembungan faktor risiko dengan kerajaan dan bank pusat berjaya mengawal keadaan dengan baik.

Prestasi pertukaran asing

Saktiandi menjangka kemeruapan pasaran pertukaran asing akan pulih atau stabil sebaik sahaja prospek kadar dasar AS menjadi lebih jelas dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah mereda yang mana akan menyebabkan dolar AS turun dengan ketara menjelang akhir tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat risiko peningkatan ketegangan AS-China menjelang atau selepas pilihan raya presiden AS.

"Keadaan makro di luar AS yang bertambah baik juga boleh menambah baik sentimen risiko dan menyediakan sokongan terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun berisiko,” katanya.

Selain itu, intervensi lisan terbaharu yang diselaraskan menerusi pelbagai kenyataan daripada mesyuarat tiga hala Kumpulan Tujuh (G7) antara menteri kewangan Korea Selatan, Jepun dan AS serta ulasan People's Bank of China’s mengenai yuan, telah membantu meredakan entimen dalam pasaran pertukaran asing, katanya. - Bernama