Mahkamah Konstitusi Indonesia tolak tuntutan Paslon tewas

Prabowo (tengah) memuji kebijaksanaan MK kerana berhasil menyelesaikan sengketa Pemilihan Umum (Pemilu 2024). Foto Agensi
Prabowo (tengah) memuji kebijaksanaan MK kerana berhasil menyelesaikan sengketa Pemilihan Umum (Pemilu 2024). Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia pada Isnin mengetepikan tuntutan dikemukakan pasangan calon (Paslon) No. Siri Satu yang tewas Pilihan Raya Presiden 2024 (Pilpres) pada Februari lalu setelah mereka mendakwa ia dicemari penipuan undi.

Kiraan undi rasmi dilakukan Komisi Pemilihan Umum (KPU) diumumkan pada 20 Mac lalu menunjukkan kemenangan berpihak kepada Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan pasangan regunya, Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka.

"Kami menolak petisyen itu secara keseluruhan," kata Ketua Hakim, Suhartoyo ketika membacakan keputusan tentang rayuan difailkan peguam mewakili bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan ahli politik veteran, Muhaimin Iskandar atau Cak Imin.

Difahamkan, petisyen itu menuntut pemilihan tersebut diadakan semula dan mahkamah membatalkan kelayakan Prabowo-Gibran.

Mahkamah Konstitusi itu turut menolak tuntutan Paslon No. Siri Tiga, Ganjar Pranowo dan Mahfud MD yang mengemukakan tuntutan secara berasingan atas alasan kedua-dua kandungan dokumen itu adalah sama.

Peguam Anies-Cak Imin juga mempersoalkan bantuan sosial secara besar-besaran yang diberikan ketika tempoh berkempen yang didakwa memberi manfaat kepada paslon yang 'rapat' dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Hakim bagaimanapun menafikan dakwaan bantuan sosial itu memberi sebarang kelebihan kepada keputusan undi.

Isu kelayakan Gibran yang merupakan putera sulung Jokowi untuk bertanding turut dipersoalkan paslon yang tewas, namun mahkamah tersebut mempertahankan status beliau sebagai Wakil Presiden (Wapres) yang dipilih adalah hasil keputusan pilihan raya dan bukannya lantikan terus. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!