Cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Perubatan dirujuk ke Kabinet

Dr Dzulkefly Ahmad. Foto fail Bernama
Dr Dzulkefly Ahmad. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan cadangan mengenai penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Perubatan akan dirujuk kepada Kabinet.

Menurutnya, cadangan itu yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kini berada di peringkat akhir.

"Di saat penghujung penelitian, saya mengharapkan dalam waktu terdekat kita dapat mengumumkan perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM), di sini pada Isnin.

Dalam PRU15 lalu, PH menerusi manifestonya mencadangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menangani isu doktor kontrak dan mengukuhkan pengurusan sumber manusia, perjawatan, latihan dan perkembangan kerjaya petugas kesihatan.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa kerajaan menunaikan janji menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan.

Pada Oktober tahun lalu, Menteri Kesihatan sebelum ini, Dr Zaliha Mustafa berkata,

pihaknya juga sedang membangunkan kerangka pelaksanaan reformasi sistem kesihatan seperti digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Jun.

Sementara itu, ketika berucap di majlis tersebut, Dzulkefly memaklumkan Malaysia melepasi sasaran dan pencapaian telah berjaya mencapai satu lagi dalam penyelidikan klinikal tajaan industri berbanding tahun- tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, laporan tahunan itu merekodkan sebanyak 276 kajian penyelidikan klinikal baru yang telah ditaja di negara ini ia sekali gus menjadikan Malaysia menduduki tempat kedua dalam rantau Asia Tenggara dari segi bilangan kajian tajaan industri global.

"Angka-angka ini juga menyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara yang telah menjana nilai terkumpul sebanyak RM1.16 bilion daripada penyelidikan yang ditaja sejak 2012," jelasnya.

Tambah beliau, penyelidikan klinikal pada fasa awal di Malaysia telah melaporkan kejayaan signifikan melalui kedua-dua tapak kajian First-in-Human (FIH) di negara ini.

Hospital Ampang telah memulakan kajian First-in-Patient pertamanya pada November 2023 manakala Hospital Umum Sarawak telah menerima pengiktirafan antarabangsa kerana berjaya menjalankan kajian FIH global.

"Berikutan pencapaian ini, Malaysia kini dilihat oleh biofarmaseutikal terkemuka dunia sebagai tapak kajian awal klinikal yang berpotensi, dengan dua ujian klinikal FIH baru yang bakal dimulakan pada pertengahan 2024 di Hospital Umum Sarawak dalam bidang Systemic Lupus Erythematosus tajaan Roche Pharmaceuticals dan bidang solid tumor ditaja oleh AstraZeneca.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!