Didik cara betul berbanding sekat guna media sosial

Mohamad Faizal Haramaini
Mohamad Faizal Haramaini
A
A
A

IPOH - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak menyifatkan masyarakat harus dibudayakan untuk menolak kandungan media sosial yang negatif berbanding menyekat penggunaannya dalam kalangan kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah.

Pengerusi GPMS Perak, Mohamad Faizal Haramaini berkata, pihaknya berpandangan kerajaan perlu melihat isu tersebut dalam konteks yang lebih besar bagi memastikan kepesatan perkembangan teknologi tidak dilihat sebagai penghalang kepada pembangunan modal insan.

Menurutnya, platform media sosial yang pelbagai seperti Facebook dan TikTok sememangnya akan mempengaruhi kehidupan seharian terutama terhadap perkembangan nilai seorang kanak-kanak, namun masyarakat perlu beradaptasi dengan perkara itu bagi membina budaya yang baik dan bukannya menyekat.

"Dengan kerencaman kandungan daripada pempengaruh dan pencipta kandungan yang tumbuh umpama cendawan, GPMS Perak menggesa agar kerajaan mengambil jalan yang lebih proaktif untuk membentuk dan mendidik golongan ini terlebih dahulu agar mereka boleh membina kandungan yang kreatif serta memberi nilai tambah pada orang lain.

"Golongan inilah yang sepatutnya kerajaan bentuk dan beri tumpuan sepenuhnya. Baik dan murninya pencipta kandungan, maka baik dan murni jugalah hasilnya. Selepas itu langkah seperti membuat sekatan kandungan boleh dibuat, bukan sekat kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad Faizal berkata, masyarakat perlu melihat daripada sisi yang positif untuk membina sebuah masyarakat celik digital pada masa hadapan yang penuh cabaran dan kompleks.

Katanya, selain sedar tentang kelemahan media sosial, perlu diakui bahawa platform media sosial sedia ada juga telah banyak membantu kepada perkembangan kanak-kanak dengan pelbagai kandungan berunsur ilmiah yang sepatutnya diangkat menjadi keutamaan.

"Langkah terbaik yang kerajaan perlu usahakan adalah mencari penyelesaian bagi memastikan kawalan berkesan dapat dibuat kepada aplikasi dan platform media sedia ada dengan bekerjasama dengan syarikat-syarikat penyedia platform. Bukan itu sahaja, kaedah pendidikan, kesedaran dan advokasi tentang cara pengawalan berkesan kepada ibu bapa juga boleh digerakkan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila masyarakat dibudayakan untuk menolak kandungan yang negatif, rasis dan bukan nilai budaya Malaysia kita, maka pempengaruh dan pencipta kandungan ini akan hilang pasaran dan keseronokan," katanya.

Beliau berpandangan usaha untuk membina dan membentuk masyarakat yang dibudayakan dengan nilai yang baik di media sosial lebih penting berbanding menafikan bahawa media sosial telah menjadi sebahagian daripada hidup kita.

Pada Ahad media melaporkan SKMM mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana SKMM mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun media sosial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!