Muhyiddin, Najib ucap takziah pemergian Allahyarham Tun Hanif

Muhyiddin dan Najib menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mohammed Hanif yang meninggal dunia pada Sabtu.
Muhyiddin dan Najib menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mohammed Hanif yang meninggal dunia pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Ketua Polis Negara (KPN), Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia pada Sabtu.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

"Saya juga berdoa semoga ahli keluarga Allahyarham bersabar menghadapi saat-saat yang mendukacitakan ini.

"Sebagai individu yang paling lama mengetuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sumbangan Allahyarham dalam hal-hal keselamatan negara amat besar sekali," katanya pada Sabtu.

Tambah Muhyiddin, Allahyarham terus membantu dan menyumbang bakti kepada negara walaupun telah bersara.

"Setelah bersara daripada perkhidmatan, Allahyarham terus menyumbang bakti kepada negara menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan keselamatan awam. Al Fatihah," jelasnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut melakukan perkara yang sama menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Najib berkata, arwah merupakan KPN paling lama, bermula memegang jawatan pada usia 35 tahun sekitar tahun 1974 ketika Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, besar sumbangan dan jasa beliau kepada negara terutamanya memastikan keselamatan dan keamanan negara bersama-sama Majlis Gerakan Negara (Mageran) satu ketika dahulu.

"Takziah kepada keluarga bekas KPN, Tun Mohammed Haniff yang telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

"Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!