Kes tembak KLIA: Suspek buat pemeriksaan kesihatan mahu kerja di Arab Saudi

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan selepas 36 jam melarikan diri daripada polis semasa mengambil laporan kesihatan di Hospital Pakar Perdana di sini pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan selepas 36 jam melarikan diri daripada polis semasa mengambil laporan kesihatan di Hospital Pakar Perdana di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ada membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Kelantan dipercayai bagi membolehkannya bekerja di Arab Saudi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati suspek sudah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital berkenaan seminggu sebelum kejadian tembakan itu berlaku.

"Suspek ingin bekerja di Arab Saudi, sebab itu dia buat pemeriksaan kesihatan di hospital berkenaan.

"Kita akan menyambung reman suspek tujuh hari lagi selepas tempoh remannya tamat Isnin ini dan dia dijangka akan dituduh dalam masa terdekat.

"Sehingga hari ini, seramai 27 individu dirakam percakapan termasuk isteri suspek bagi membantu siasatan," katanya kepada media ketika ditemui di Masjid Negara, di sini pada Sabtu.

Kata beliau, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan.

"Motif utama masih sama iaitu disebabkan hal peribadi,” katanya.

Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan kepada bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Mohammed Haniff Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada pukul 2.15 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Hafizul sebelum ini ditahan di depan sebuah hospital swasta di Kelantan selepas seminggu pulang dari Arab Saudi dan bertindak melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, Sepang.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, siasatan mendapati suspek pulang dari Arab Saudi dan terus ke Bangkok, Thailand sebelum masuk ke negara ini melalui Kelantan.

Pistol Glock 19 Austria yang digunakan suspek dalam cubaan membunuh isterinya juga dipercayai dibeli daripada lelaki Thailand dengan harga RM5,000.

Hussein dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati, suspek menghubungi lelaki Thailand berkenaan melalui seorang kenalannya kira-kira dua atau tiga minggu sebelum kejadian.

Dalam insiden jam 1.20 pagi pada Sabtu lalu, Hafizul didakwa melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan antarabangsa KLIA Terminal 1.

Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi isteri suspek.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!