Allahyarham Tun Haniff Omar tegas, sentiasa jaga integriti

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sentiasa tegas melaksanakan tugas dan berkeperibadian tinggi merupakan karektor utama bekas Ketua Polis Negara keempat, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar selama 20 tahun berkhidmat bersama Sang Saka Biru.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, banyak perkara dipelajari daripada tokoh ulung Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sepanjang bertugas di bawah Allahyarham.

Beliau berkata, Allahyarham sentiasa mementingkan barisan kepimpinan dan pegawai kanan polis untuk menunjukkan contoh terbaik kepada orang bawahan.

"Allahyarham Tun Hanif juga sering menyentuh kepentingan menjaga integriti semasa bertugas.

"Arwah turut berpesan untuk semua anggota supaya tidak terlibat dengan gejala rasuah. Semua nasihat dan pandangan Allahyarham sentiasa tersemat di hati ini," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Mohamad Fuzi berkata, ketika menjadi Ketua Polis Negara paling muda dan lama, banyak jasa dan sumbangan telah dicurahkan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

"Allahyarham Tun sangat komited tentang kepentingan dan keselamatan negara sehingga akhir hayatnya.

"Ini adalah satu contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Allahyarham meskipun telah pencen," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu kata beliau, Allahyarham juga tidak lokek dalam berkongsi pengalaman dan mengajar barisan kepimpinan menjadi seorang pegawai berwibawa.

Jelasnya, pelbagai perkara dapat dipelajari daripada Allahyarham terutama dalam aspek disiplin, ketekunan serta kerajinan yang ditunjukkan semasa bertugas.


Tun Hanif Omar depani cabaran termasuk ancaman komunisme dalam negara

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar mendepani banyak cabaran sepanjang memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk menangani ancaman komunisme yang masih lagi wujud di negara ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, meskipun terdapat pelbagai halangan, namun Allahyarham berjaya menunjukkan sikap sebagai seorang ketua dan pemimpin yang hebat sepanjang 20 tahun memegang pucuk pentadbiran PDRM.

"Tun Mohammed Hanif juga bertanggungjawab dalam memodenkan dan membuat perubahan dalam PDRM kerana beliau terpilih oleh pucuk pimpinan negara pada masa itu dalam menjayakan usaha tersebut.

"Beliau memang menjadi salah seorang ikon kepada pegawai-pegawai muda PDRM termasuk saya.

"Memang beliau merupakan seseorang yang kita jadikan rujukan sebagai ketua, pemimpin atau bagaimana untuk menjaga keamanan negara, semua ini dalam apa yang boleh saya masukkan sebagai jasa Tun Mohammed Hanif kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media di kediaman Allahyarham Mohammed Hanif di Seksyen 13, Shah Alam pada Sabtu.

Pada Sabtu, Tun Mohammed Hanif Omar dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun awal pagi Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Kapten Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif menerusi platform WhatsApp awal pagi ini.

Mohammed Hanif yang lahir pada 16 Januari 1939 merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat dan juga Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!