Binaan haram di tanah Yayasan Kubra diroboh tanpa rusuhan - Zainul Rijal

SHAH ALAM - Binaan haram di atas tanah milik penuh Yayasan Kubra di Rawang Perdana telah dirobohkan dalam satu operasi yang berlangsung pada awal pagi Rabu.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, operasi di bawah pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjalan dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang rusuhan.
“Ia hasil dari pelbagai mesyuarat dan cadangan pelbagai pihak. Tidak sia-sia mesyuarat sampai jam 12 malam tadi.
“Para peguam mengatur strategi perundangan, aktivis pula merangka aktiviti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam melaksanakan perancangan yang diketuai oleh Tok Cindai, Panglima Aduka dan Ustaz Masrizi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, media diberitahu, kawasan tersebut merupakan tanah milik yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.
Susulan itu, pemegang Amanah Yayasan Kubra, Firdaus Wong Wai Hung pada Selasa berkata, yayasan tersebut akan melaksanakan tindakan pembersihan terhadap struktur binaan tersebut setelah tamat tempoh masa yang diberikan sehingga jam 11.59 malam Selasa.
Ujar Zainul Rijal, kerja perobohan tersebut dilaksanakan tanpa menghina atau menindas mana-mana agama.
“Buktinya kita tidak memecahkan patung-patung sembahan mereka. Kita cuma alihkan sahaja kedudukan mereka dan kemudiannya mereka membawa patung-patung tersebut ke tempat lain.
“Jadi ini bukan isu agama. Pihak yang membangkitkan isu agama dan perkauman itulah yang sebenarnya rasis.
“Rumah anutan yang mengikut undang-undang kita tak pertikaipun malah Islam melindungi kebebasan beragama,” ujarnya.
Menurut peguam syarie itu, terdapat pihak turut mempersoalkan tindakan perobohan yang dilakukan pada awal pagi, bukannya pada waktu petang.
“Saya cuma boleh kata jemputan jam 5 petang itu untuk gotong royong membersihkan tanah Yayasan Kubra termasuk membersihkan saki baki rumah struktur rumah anutan haram, kita tidak kata pukul 5 untuk robohkan rumah anutan haram.
“Lagipun kalau ramai sangat datang nanti kita tak boleh kawal. Biarlah strategi dirancang oleh kumpulan yang kecil kerana kami juga mengambil kira beberapa kemungkinan termasuk isu perundangan,” kata beliau.
Zainul Rijal turut menjelaskan ketidakhadiran beliau dalam perbincangan pada Selasa malam kerana sedang membuat persiapan untuk sesi perbicaraan pada pagi Rabu ini.
“Tidak semua tempat saya kena ada. Saya dan beberapa peguam lain cuma pantau dari segi perundangan sahaja,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Binaan haram atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang Perdana dirobohkan dalam operasi awal pagi Rabu
- Operasi di bawah pemantauan PDRM berjalan lancar tanpa rusuhan
- Perobohan adalah hasil pelbagai mesyuarat dan persiapan strategi perundangan oleh peguam dan aktiviti oleh NGO Islam
- Tanah milik yayasan telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat untuk projek pembinaan rumah asnaf
- Perobohan dilaksanakan secara aman tanpa menghina atau menindas mana-mana agama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

