'Rasa sedih beras terbuang begitu sahaja'

Lokasi kejadian yang telah ditutup oleh pihak berkuasa. Gambar kecil dari kiri: Abdul Basit, Roslan, dan Nasarudin
Lokasi kejadian yang telah ditutup oleh pihak berkuasa. Gambar kecil dari kiri: Abdul Basit, Roslan, dan Nasarudin
A
A
A

TEMERLOH - "Rasa sedih... dalam keadaan ekonomi sekarang harga beras pula lebih RM40, namun ia terbuang begitu sahaja," kata penduduk Kampung Gunung Senyum, Abdul Basit Mohd Sharif, 46, susulan penularan video di media sosial yang memaparkan lambakan beras, sardin, tepung gandum dan bihun di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum di sini pada Jumaat.

Abdul Basit berkata, kejadian itu disedarinya selepas tular dalam aplikasi WhatsApp.

Ujarnya, barangan itu mungkin sudah rosak namun mempersoalkan bagaimana situasi tersebut boleh berlaku.

"Saya ada pergi tengok, nampak banyak barang seperti beras, rasanya ratusan kampit, sardin, tepung gandum, bihun, minyak masak dan uncang teh.

"Ikutkan kejadian sebegini dah berlaku beberapa kali, dah kali ketiga buang beras dan pertama kali dua tahun lalu," dakwa pengawal keselamatan berkenaan.

Imam Masjid Rumpun Makmur, Roslan Awang Mohamad, 57, pula memberitahu kejadian itu telah berlaku beberapa kali sebelum ini.

"Barangan ini sepatutnya diagihkan kepada asnaf, orang-orang memerlukan tapi ia dibuang, dibakar begitu sahaja," tambahnya turut kesal dengan kejadian terbabit.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Gunung Senyum, Nasarudin Ramli, 54, menyifatkan perkara terbabit tidak sewajarnya berlaku dalam keadaan ekonomi pada masa kini.

Artikel Berkaitan:

"Selepas ada orang kutip beras-beras ini, dianggarkan masih ada baki lebih 500 pek di kawasan pembuangan di sini. Apa yang saya tengok, memang ada bubuk ulat pada beras terbabit.

"Memang ada bantuan barangan diberikan ketika pandemik Covid-19 dulu, kali ini tidak tahu bagaimana ia terjadi," jelasnya dalam pengetahuan dirinya kawasan itu tidak diwartakan.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi terbabit mendapati lambakan barangan itu telah ditimbun dan diratakan dipercayai dilakukan pada malam tadi (Khamis).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!