Malaysia bimbang, kecewa AS guna kuasa veto

Sesi mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. Foto AFP
Sesi mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menzahirkan kebimbangan dan kekecewaan dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan menegaskan pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan itu telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB tersebut untuk merealisasikan hak-hak rakyat Palestin.

Ia termasuklah hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967.

"Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di PBB," katanya pada Jumaat.

Terdahulu, AS gunakan kuasa veto bagi menolak usul PBB untuk mengiktiraf negara Palestin.

Pengundian yang dilakukan dalam sidang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) itu secara langsung menafikan Palestin keahlian penuh dalam badan dunia itu.

AS berkata, sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan melalui rundingan terus antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin dan bukan melalui tindakan PBB.

Artikel Berkaitan:

Ia membantah draf resolusi yang mengesyorkan kepada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB (UNGA) supaya Palestin diterima menjadi ahli PBB.

Britain dan Switzerland berkecuali, manakala baki 12 ahli UNSC mengundi 'ya'.

Palestin pada masa ini adalah negara pemerhati bukan ahli, pengiktirafan de facto kenegaraan yang diberikan oleh UNGA pada 2012.

Permohonan untuk menjadi ahli penuh PBB perlu diluluskan oleh UNSC dan kemudian sekurang-kurangnya dua pertiga ahli UNGA.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!