Bank perlu cari kaedah baharu berhubung dengan pelanggan - JSJK

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan kes penipuan telekomunikasi ketika ini memerlukan institusi perbankan mencari kaedah baharu untuk berhubung dengan pelanggan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ini berikutan antara modus operandi yang kerap dilaporkan dalam kes penipuan dalam talian adalah penggunaan panggilan telefon untuk menghubungi mangsa.

Jelasnya, situasi ini menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat bahawa apa jua panggilan daripada nombor tidak dikenali adalah ‘scammer’.

“Saya sendiri pernah menerima panggilan daripada pihak bank menggunakan nombor tidak dikenali dan meminta pengesahan tanpa beritahu tujuan menghubungi saya.

"Kaedah yang turut digunakan scammer itu berisiko kepada masyarakat dan kerana itu pihak polis menasihatkan masyarakat jangan melayan panggilan daripada nombor tidak dikenali," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Tambahnya, hal itu itu sedikit sebanyak turut mengakibatkan kesukaran kepada institusi perbankan untuk berhubung dengan pelanggan mereka bagi sebarang urusan berkaitan.

Bagi mengatasi isu itu, kata Ramli, pihaknya mencadangkan supaya pihak perbankan yang membuat panggilan kepada pelanggan untuk terlebih dahulu memaklumkan tujuan panggilan secara jelas sebelum meminta pengesahan.

“Saya pernah ditanya mengenai apa akan terjadi kepada industri menggunakan khidmat ‘telemarketing’ untuk promosi jika polis terus menasihati masyarakat tidak menjawab panggilan nombor tidak dikenali, saya sarankan supaya industri ini mengubah cara promosi mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Ramli mencadangkan supaya industri perbankan mencari kaedah baharu bagi meneruskan perkhidmatan sekali gus mengekang daripada kes penipuan berleluasa.

Sementara itu, dalam kes berlainan, pada 2 April lalu, seorang peguam berusia 61 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri, Sarawak atas tujuh pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah secara bertindih melibatkan nilai kerugian lebih RM1.1 juta.

"Selaku pengamal undang-undang, peguam seharusnya sentiasa bertindak jujur dan berintegriti dalam apa jua tindakan yang dilakukan kerana tindakan segelintir seperti ini telah mencemarkan nama baik serta imej profesion tersebut.

"Saya menggesa pihak Majlis Peguam Malaysia untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana peguam yang gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana yang sepatutnya," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!