Debu letusan Gunung Ruang tidak jejas kualiti udara permukaan Sabah, Sarawak

Gunung berapi Ruang memuntahkan lahar dan debu tebal ke permukaan udara. Foto AFP
Gunung berapi Ruang memuntahkan lahar dan debu tebal ke permukaan udara. Foto AFP
A
A
A

KOTA KINABALU - Awan debu yang terhasil akibat letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia tidak menjejaskan kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, bagaimanapun awan debu terhasil akibat letusan gunung berapi setinggi 725 meter dari paras laut itu pada jam 9.45 pagi, Selasa lepas, menjejaskan operasi penerbangan di dua negeri berkenaan.

"Ketinggian letusan yang dicerap ialah hingga 55,000 kaki dan awan debu yang terbentuk boleh menyebabkan risiko kepada keselamatan pesawat. MetMalaysia akan terus memantau kesan letusan Gunung Berapi Ruang terhadap negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Indonesia telah meningkatkan amaran letusan gunung berapi kepada Tahap 4 (Awas) dan menjangkakan gunung berapi itu akan terus aktif serta boleh meletus daripada semasa ke semasa.

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: