Bunuh jurutol: Bekas mekanik terlepas hukuman mati, diganti penjara 35 tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang bekas mekanik terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan pada Khamis menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya dengan penjara 35 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh seorang wanita, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Mat dalam keputusan sebulat suara pada Khamis, membenarkan permohonan semakan Norhalis Mohamad Zaid, 38, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hakim Tengku Maimun mengetepikan hukuman mati terhadap lelaki itu yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2 Oktober 2018 dan digantikan dengan hukuman penjara 35 tahun dari tarikh tangkap 21 Julai 2015.

Norhalis telah berada dipenjara selama sembilan tahun sementara menunggu hukuman mati dihadapinya itu.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Pada 2 Oktober 2018, Norhalis dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Noor Salwana Wahab, 28, seorang jurutol, di sekitar hotel di Seri Kembangan antara 6.30 petang, 17 Julai 2015 dan 2 pagi, 18 Julai tahun sama.

Rayuan Norhalis terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh itu ditolak Mahkamah Rayuan pada 10 Oktober 2019, sebelum Mahkamah Persekutuan menolak dan mengekalkan sabitan pada 16 Disember 2020.

Terdahulu, peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili Norhalis memohon agar hukuman terhadap anak guamnya dikurangkan kepada hukuman penjara dan mengenakan rotan yang munasabah, atas alasan Norhalis merupakan seorang anak yang taat dan membantu ayahnya di kebun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati itu, kerana perbuatan yang dilakukan lelaki berkenaan dianggap terlalu kejam.

Pada 18 Julai 2015, media melaporkan penemuan mayat wanita berbalut dengan kain tebal di dalam sebuah kereta selepas kereta yang dipandu teman lelaki wanita itu terbabas di Lebuhraya Pantai Timur, dipercayai akibat mengantuk.

Mangsa yang bekerja sebagai jurutol dan tidak bercuti raya ditemukan di tempat duduk hadapan dengan kecederaan di bahagian leher, sementara pemandu kereta patah tulang rusuk.

Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Jengka, Pahang dan keraguan timbul ekoran tiada kecederaan luaran pada tubuh mangsa selain keadaan mukanya seperti lemas, sebelum pihak forensik mengesahkan kematian mangsa akibat kecederaan di leher. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!