Serah semula tanah jika tidak mampu teruskan projek Sungai Baru

Johari (tiga dari kanan) melayani tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Sabtu.
Johari (tiga dari kanan) melayani tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemaju pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu di sini disyorkan menyerahkan kembali tanah tersebut kepada pihak berwibawa jika tiada kemampuan menyiapkan projek yang dijanjikan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembangunan tersebut masih samar walaupun 95 peratus penduduk terlibat telah dipindahkan.

Menurutnya, projek tersebut perlu diteruskan bagi membela nasib 200 penduduk yang telah mengosongkan kediaman masing-masing bagi memberi ruang projek tersebut dilaksanakan.

"Sehingga hari ini sudah enam tahun mereka berpindah tetapi tidak dapat semula unit dijanjikan.

"Saya mahu pemaju yang merancang projek ini, jika tak ada kekuatan kewangan untuk teruskan projek, saya minta mereka serahkan semula tanah ini untuk beri kepada pemaju lain yang lebih berwibawa," katanya pada Sabtu.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Perladangan dan Komoditi di pekarangan pintu gerbang Kampong Bharu di sini dihadiri hampir 20,000 pengunjung.

Ujarnya, tiada alasan penangguhan projek dilakukan susulan bangunan telah dikosongkan, kini terbiar dan menjadi lokasi aktiviti tidak sihat.

Justeru, beliau mendesak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil perhatian serius terhadap isu penyelesaian projek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan terus pastikan projek ini mesti dimulakan dan bangunan terlibat perlu dirobohkan supaya tiada isu berbangkit dalam kawasan ini.

"Isu ini telah dibincangkan bersama pemaju sebanyak beberapa kali malah JWP dan DBKL juga telah bantu mereka untuk kelulusan baki tanah bermasalah, tiada sebab pemaju mahu tangguh lagi projek ini," katanya.

November lalu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek pembangunan semula kawasan itu tidak ditangguhkan lagi.

Ujar beliau, Pejabat Perdana Menteri sebelum ini sudah memberikan penangguhan hingga 31 Oktober 2023 dan tiada lanjutan penangguhan serta pemaju perlu selesaikan projek berkenaan.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2018.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!