Lembaga Muzium Negeri Terengganu lancar sistem bayaran tanpa tunai

Tengku Farok Hussin (kanan) menandatangani plak ketika Majlis Pelancaran Sistem Pembayaran Tanpa Tunai LMNT di pekarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
Tengku Farok Hussin (kanan) menandatangani plak ketika Majlis Pelancaran Sistem Pembayaran Tanpa Tunai LMNT di pekarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) melancarkan perkhidmatan sistem pembayaran tanpa tunai untuk kemudahan orang ramai yang mengunjungi Kompleks Muzium Negeri Terengganu dekat sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, kaedah itu diperkenalkan seiring dengan perkembangan digitalisasi selain turut mendapat permintaan daripada pelancong luar yang lebih selesa dengan kaedah pembayaran tanpa tunai.

Beliau yang juga pengerusi LMNT berkata, kemudahan pembayaran tiket menggunakan kod QR itu boleh didapati bermula Khamis.

"Sistem pembayaran tanpa tunai ini merupakan titik permulaan bagi LMNT mengorak langkah dalam era digitalisasi.

"Jadi sudah tiba masanya untuk LMNT terlibat secara serius terhadap digitalisasi termasuk mengadakan pameran dalam bentuk digital sebagai pembaharuan serta nilai tambah institusi

"Kita berharap kemudahan itu juga dapat meningkatkan jumlah pengunjung yang kini mencecah 1,000 orang pada hari biasa dan 4,000 orang pada musim cuti," katanya.

Tengku Farok Hussin (tengah) ketika Majlis Pelancaran Sistem Pembayaran Tanpa Tunai LMNT di pekarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
Tengku Farok Hussin (tengah) ketika Majlis Pelancaran Sistem Pembayaran Tanpa Tunai LMNT di pekarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pembayaran Tanpa Tunai LMNT di pekarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata, harga tiket yang dikenakan berpatutan iaitu RM5 bagi dewasa, kanak-kanak (RM2), dewasa bukan warganegara (RM15), kanak-kanak bukan warganegara (RM10) dan pelajar sekolah beruniform (RM1).

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menerima sumbangan enam buah kerusi roda daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan pengunjung LMNT yang uzur.

"Kemudahan ini diharapkan dapat menggalakkan kedatangan pengunjung selain memberi keselesaan kepada mereka," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!