Orang ramai merungut sistem perbankan alami gangguan

Keadaan tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam pada Jumaat akibat sistem perbankan yang tergendala.
Keadaan tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam pada Jumaat akibat sistem perbankan yang tergendala.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati apabila sistem perbankan mengalami gangguan transaksi hampir lapan jam sejak petang Jumaat.

Tinjauan di beberapa platform media sosial mendapati rata-rata pengguna kesal apabila mereka tidak dapat melakukan transaksi sama ada untuk pembayaran atau pengeluaran tunai.

Difahamkan antara sistem yang tergendala ialah Maybank, CIMB Bank Bhd dan Ambank.

Menurut seorang pengguna yang terjejas, Mohd Halim Abdul Wahid, 39, dia bersama keluarganya lebih satu jam terperangkap dalam sebuah pusat membeli-belah di sini disebabkan sistem perbankan yang tergendala.

Ujarnya, orang ramai tidak dapat keluar daripada bahagian tempat letak kereta kerana kad bank gagal diakses untuk pembayaran caj parkir.

“Dah sejam lebih saya tersangkut dan ramai yang mula hon tanpa henti. Tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pihak pengurusan pusat membeli-belah ini.

“Mereka kelihatan gelisah disebabkan suhu dalam kawasan ini semakin panas kerana enjin kenderaan dihidupkan tetapi tidak bergerak. Kebanyakan orang di sini mula beremosi sebab sudah lama tersangkut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Seorang lagi pengguna, Hafizah Harraz Haikal berkata, dia ingin melakukan transaksi dan memeriksa baki simpanan yang ada, namun gagal selepas tiga kali memasukkan kad di mesin juruwang automatik (ATM).

Artikel Berkaitan:

Situasi sama dihadapi Aiman Hakim apabila wang tidak boleh ditunaikan di mesin ATM kerana kad tidak boleh diakses dan ditendang.

Sementara itu, Maybank mengesahkan mengalami gangguan sistem perkhidmatan bagi perbankan internet serta transaksi menerusi kad ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Maybank selepas ditanya oleh netizen di laman X.

"Berdasarkan kepada semakan, harap maklum bahawa kami mengalami gangguan sistem perkhidmatan yang tidak dijangka bagi perbankan internet serta transaksi menerusi kad pada waktu ini.

"Kami di dalam usaha menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Kesabaran anda amat kami hargai,” ujar Maybank ringkas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!