Urus duit raya anak-anak dengan cermat

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

SETIAP kali tiba hari raya, golongan kanak-kanaklah yang paling teruja dan gembira.

Bukan setakat dapat melaram dengan baju dan kasut baharu, tetapi mereka juga paling seronok kerana mendapat duit raya daripada sanak saudara dan jiran tetangga.

Dek kerana perubahan zaman, wang terkumpul hasil sumbangan duit raya ada kalanya mencecah ratusan dan ribuan ringgit.

Namun, wajarkah wang yang diperolehi itu digunakan untuk tujuan membeli mainan, makanan ringan dan sebagainya?

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab untuk memastikan duit raya anak-anak disimpan serta diurus dengan cermat, agar ia dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara berfaedah pada masa akan datang.

Merak Jalanan percaya, ramai ibu bapa masih tercari-cari kaedah terbaik bagaimana untuk menguruskan duit raya anak-anak.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ibu bapa setiap kali anak-anak mendapat duit raya ialah asingkan siap-siap duit raya yang dikumpul agar tidak ‘terguna’.

Jangan tak tahu, menggunakan duit raya anak sesuka hati hukumnya adalah haram.

Artikel Berkaitan:

Ini berdasarkan kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memetik jumhur (majoriti) fuqaha' di dalam mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki yang berpendapat, ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.

Ibu-bapa juga boleh membuat simpanan anak-anak menerusi tabung simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN-I Plus untuk tujuan pendidikan tinggi.

Selain itu, ibu bapa boleh menggunakan formula yang direka sendiri.

Sebagai contoh, mengajar anak-anak membahagikan duit raya mengikut nisbah 80:20 iaitu 80 untuk tabungan dan 20 untuk memberi barangan yang mereka hajati.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28