Hujan turun, disiplin pemandu pun hanyut

MERAK Jalanan perasan, setiap kali hujan turun dan jalan raya mula sesak, ada sahaja pemandu yang tiba-tiba menjadi kreatif mencari jalan.
Barisan panjang di hadapan sudah tersedia, tetapi ada pula yang memilih untuk guna lorong sebelah sebelum mencelah masuk di saat akhir.
Lebih menarik, ada yang sanggup bergerak jauh di lorong yang sepatutnya bukan untuk laluan terus, kemudian memasang isyarat membelok seolah-olah pengguna lain wajib beri laluan. Kalau tidak diberi ruang, mulalah dihimpitnya sedikit demi sedikit.
Merak Jalanan faham, ketika hujan lebat, semua orang mahu cepat sampai ke destinasi. Ada yang mahu segera pulang ke rumah, mengambil anak dari sekolah atau mengelakkan diri daripada terperangkap lebih lama dalam kesesakan. Namun, bukankah semua orang sedang berdepan keadaan yang sama?
Pemandu yang beratur sejak awal juga mahu cepat sampai. Mereka pun penat dan mereka juga ada urusan yang perlu diselesaikan. Jadi, mengapa perlu mengambil kesempatan atas kesabaran orang lain?
Lebih membimbangkan, tindakan mencelah secara mengejut ketika jalan licin boleh mengundang kemalangan. Demi jimat beberapa minit, keselamatan semua pengguna jalan raya pula dipertaruhkan.
Merak Jalanan bukan mahu menuduh semua pemandu yang menukar lorong sebagai tidak berdisiplin. Ada kalanya pertukaran lorong memang diperlukan, terutama untuk mengelakkan halangan atau mengikuti laluan yang betul.
Namun, bezakanlah antara menukar lorong dengan tertib dan sengaja memotong barisan sebelum memaksa orang lain memberikan laluan.
Hujan mungkin di luar kawalan kita, tetapi sikap ketika berada di jalan raya tetap menjadi pilihan sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
