Takkan dapat duit raya seringgit saja?

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

EH... eh... eh..., sedap sahaja cakap ‘Dapat seringgit?’, ‘Takkan seringgit saja’, ‘Dalam sampul ada berapa ringgit?’

Itu antara ragam dan celoteh kanak-kanak berusia lapan tahun atau lebih tepat anak-anak masih bersekolah rendah ketika berkunjung di rumah sanak saudara semasa menerima duit raya.

Tanpa segan silu mempersoalkan jumlah duit raya yang diterimanya seolah-olah tidak mencukupi dan RM1 itu tidak bernilai di mata mereka.

Zaman berubah, didikan juga berbeza.

Ketika zaman penulis masih kecil, nak minta duit raya pun segan apatah lagi bertanya sedemikian.

Dapat duit raya RM1 pun sudah seronok.

Tapi anak-anak generasi Alpha ini keyakinan mereka level A!

Apabila dilihat semakin maju kehidupan masyarakat, jumlah duit raya yang diberikan turut meningkat sehinggakan jika ada yang memberi wang sebanyak RM1 atau RM2 mereka dianggap kedekut.

Artikel Berkaitan:

Enggan dilabel kedekut atau dipandang rendah oleh saudara-mara dan rakan, ada yang memberi duit raya sebanyak RM10.

RM5 adalah jumlah dianggap paling minimum.

Ukur baju di badan sendiri.

Pemberi duit raya juga perlu mengikut kemampuan diri.

Tidak ada gunanya juga jika memberi dengan nilai besar namun timbul rasa riyak dalam hati.

Bagi penulis, biar bersederhana.

Berapa pun jumlah duit raya diberi, yang penting hubungan kekeluargaan terjalin dan saling bersedekah untuk eratkan silaturahim.

Ibu bapa harus memberitahu anak-anak untuk menghargainya dan mengucapkan terima kasih.

Tekankan juga kepada mereka mengenai adab apabila menerima pemberian duit raya selain adab berada di rumah sanak saudara.

Tanamkan rasa syukur dalam diri mereka walau sekecil mana pun nilai wang itu, seterusnya diterima dengan wajah manis, senyuman dan hati ikhlas selain mendoakan kebaikan kepada orang yang memberi.

Jangan pula dibandingkan rumah itu dapat duit raya banyak, rumah ini dapat sedikit.

Siapa kita untuk mempersoalkan perkara itu?

Penulis ada terbaca kenyataan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan mengingatkan orang ramai supaya tidak menghina atau mencela jumlah pemberian duit raya kerana tujuan asalnya adalah untuk berkongsi kegembiraan dan kesyukuran kepada penerimanya.

Selain itu, pemberian duit raya juga dilihat sebagai cara menzahirkan rasa syukur dan gembira.

Amalannya sama sekali tidak menyerupai kebudayaan agama lain kerana Islam mempunyai kedudukan tersendiri dalam syariat, iaitu pemberian duit raya disamakan dengan bersedekah dan lebih elok juga diberikan pada bulan Ramadan kerana pahalanya berlipat ganda.

Oleh itu, kita perlu didik diri sendiri dan anak-anak supaya jangan menghakimi seseorang yang memberi duit raya sekecil-kecil RM1 atau sebesar-besar RM100, kerana kita tidak tahu mungkin orang itu hanya ada RM50 dalam akaun bank untuk digunakan hingga gaji seterusnya tiba.

Seperti diketahui umum, persiapan sesi persekolahan baharu, bulan Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mac dan April, dilaksanakan secara serentak, sudah pasti memerlukan perbelanjaan besar.

Penulis bimbang jika tindakan pemberian duit raya dalam jumlah sedikit dijadikan topik ketika menziarahi sanak saudara ia sesuatu yang tidak sihat.

Perlu dihindari lebih awal, tidak perlu rasa malu jika beri duit raya dalam jumlah sedikit ikut kemampuan pemberi, bukan mereka beli beras dekat kita pun!

Dalam pada itu, sikap berlumba-lumba untuk memberi duit raya siapa paling banyak, perlu dihapuskan bimbang lepas raya poket pokai dan silap-silap hutang keliling pinggang!

Walau apa pun senario ketika menyambut Syawal tahun ini, hayati pengertian Syawal dan jadikan sambutan lebih bermakna.

Semoga Aidilfitri kali ini membawa kebahagiaan berkekalan untuk kita semua.

*Syairah Abd Lajis ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28