PN gesa kerajaan dedah proses tender HeiTech Padu

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mendedahkan proses tender melibatkan HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu) termasuk senarai semua syarikat yang telah disenarai pendek bagi mendapatkan projek melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Khairil Nizam Khirudin menegaskan, kontrak demi kontrak yang diperolehi syarikat tersebut sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan serta persoalan dalam kalangan rakyat mengenai perjalanan proses tender dijalankan.

"PN memandang serius mengenai isu penganugerahan kontrak JPJ bernilai RM190 juta kepada Heitech Padu.

"Kebimbangan ini dizahirkan oleh rakyat, apatah lagi antara pemegang saham utama HeiTech Padu adalah bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, HeiTech Padu menerima surat lantikan daripada JPJ membabitkan tender bernilai RM190.01 juta bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sistem MySIKAP di semua pejabat JPJ.

Kontrak bagi tempoh 36 bulan itu bermula dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027.

Dalam pada itu Kharil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut itu turut mempersoalkan nilai kontrak yang tinggi untuk tempoh tiga tahun, sedangkan syarikat itu pernah dianugerahkan kontrak sama bernilai RM36 juta setahun pada 2021 sebelum disambung pada 2023 dengan nilai RM27 juta setahun.

Oleh yang demikian ujarnya, kontrak terbaharu bernilai RM190 juta itu bernilai purata RM63 juta setahun dan kenaikan tersebut perlu dijawab oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Demi mengelak daripada isu ini terus menjadi polemik dalam kalangan rakyat, PN menggesa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan lebih telus dan dedahkan segala proses tender melibatkan HeiTech Padu termasuk persoalan mengenai nilai kontrak yang tinggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!