Suami isteri dera anak tiri, anak angkat dipenjara dan didenda

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang remaja dan seorang kanak-kanak yang dijaga sepasang suami isteri terpaksa menahan azab apabila didera secara fizikal sehingga mengalami kesan lecur pada badan dalam kejadian di sebuah rumah kedai di daerah ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang remaja dan seorang kanak-kanak yang dijaga sepasang suami isteri terpaksa menahan azab apabila didera secara fizikal sehingga mengalami kesan lecur pada badan dalam kejadian di sebuah rumah kedai di daerah ini.
A
A
A

KENINGAU - Pasangan suami isteri yang mendera anak tiri dan anak angkat mereka akhirnya dijatuhkan hukuman penjara dan denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Tertuduh Norfaizah Boting, 36, dan suaminya, Kamal Abdullah, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Flavian Edward Henry.

Menurut kertas pertuduhan, Norfaizah yang berdepan dengan tiga pertuduhan antara 24 Mac sehingga 30 Mac lalu di sebuah bilik sewa di Pekan Keningau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dengan menggunakan seterika digunakan sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua hukuman tersebut.

Selain itu, tertuduh pada tarikh dan di tempat yang sama juga turut dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak tersebut.

Sementara itu, Kamal pula dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang sama pada tarikh dan di tempat yang sama.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Norfaizah dikenakan penjara selama empat tahun 10 bulan dan denda RM22,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan jika gagal bayar boleh dikenakan penjara selama dua tahun enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Suaminya pula, dipenjara selama satu tahun lapan bulan dan denda RM4,000 bagi dua pertuduhan dan jika gagal membayarnya boleh dikenakan setahun lagi penjara.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Euginie Meredith Gilbert manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kedua-dua mangsa dalam kes itu kini telah ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!