Remaja, budak 5 tahun jadi mangsa dera pasangan suami isteri

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KENINGAU - Seorang remaja dan seorang kanak-kanak yang dijaga sepasang suami isteri terpaksa menahan azab apabila didera secara fizikal sehingga mengalami kesan lecur pada badan dalam kejadian di sebuah rumah kedai di daerah ini.

Remaja lelaki berusia 13 tahun dan kanak-kanak berusia lima tahun itu masing-masing mengalami kesan lecuran pada badan akibat ditekap menggunakan seterika dan terkena air panas serta dipukul menggunakan kayu dan besi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu lelaki pada Khamis yang mengesyaki bahawa mangsa telah didera.

"Menurut pengadu, dia menyedari terdapat kesan luka pada mangsa remaja lelaki pada Selasa lalu ketika dia didatangi remaja tersebut di sebuah kedai snooker.

"Pada keesokan harinya, pengadu telah menerima gambar daripada rakannya berkaitan kesan luka seperti terkena seterika pada badan mangsa dan mengesyaki bahawa mangsa telah didera oleh seseorang sebelum tampil membuat laporan polis," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Susulan daripada laporan itu, Yampil berkata, siasatan telah dijalankan terhadap suspek iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun bersama isterinya berusia 36 tahun di mana kedua-duanya adalah peniaga burger.

"Siasatan mendapati kedua-dua mangsa tiada pertalian saudara dengan pasangan suami isteri tersebut. Bagaimanapun, mangsa remaja lelaki merupakan anak tiri kepada wanita tersebut di mana bapa kandungnya pernah berkahwin dengannya namun tidak lama kemudian telah dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan dadah.

"Mangsa dijaga oleh ibu tirinya itu namun telah berkahwin lain dengan suspek lelaki. Pasangan suami isteri itu juga telah mengambil seorang kanak-kanak untuk dijadikan sebagai anak angkat mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yampil berkata lagi, siasatan lanjut terhadap kedua-dua mangsa ialah beberapa siri kejadian penderaan dilakukan sejak 24 Mac lalu oleh pasangan suami isteri tersebut.

"Mangsa remaja didapati telah ditekap dengan menggunakan seterika oleh suspek wanita secara berulang kali di bahagian belakang badan selain turut dipukul menggunakan batang besi manakala suspek lelaki telah memukulnya menggunakan kayu pada belakang badan mangsa.

"Suspek wanita itu juga telah menyiram air panas di atas lantai dan memaksa kanak-kanak berusia lima tahun tersebut berdiri di atas air panas sehingga menyebabkan kakinya melecur. Selain itu, kanak-kanak tersebut turut ditekap menggunakan seterika pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badannya dan diletakkan sudu panas pada badannya.

"Suspek lelaki pula telah memukul belakang badan kanak-kanak itu dengan menggunakan batang besi selain turut ditendang pada kaki sehingga menyebabkannya terhempas dan terhantuk pada lantai," katanya.

Sehubungan itu, Yampil berkata, kes masih dalam siasatan pihaknya di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28