Jadikan 'laluan tikus' di Ladang Bikam laluan alternatif - Penduduk

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TELUK INTAN - Penduduk Kampung Baru Palawan dekat Langkap di sini, mencadangkan supaya ‘jalan tikus’ di Ladang Bikam dijadikan jalan raya baharu sebagai alternatif untuk pengguna sekiranya Lebuhraya Utara Selatan sesak terutama ketika musim perayaan.

Seorang penduduk yang terlibat membantu pengguna jalan raya menggunakan laluan berkenaan pada Syawal keempat, Lee Kim Chin, 65, berkata, selain mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan, laluan kawasan kebun sawit itu juga dapat memendekkan perjalanan untuk ke ibu kota.

"Pengguna jalan raya hanya perlu melalui jarak perjalanan sejauh tiga kilometer untuk keluar ke jalan besar di Kuala Bikam menghala ke Selatan,” katanya ketika ditemui Bernama pada Rabu.

Kim Chin berkata, penduduk kampung bangga kerana dapat membantu ratusan pengguna jalan raya setelah mereka membuka laluan berkenaan, yang sebelum ini merupakan laluan berpasir dan hanya digunakan oleh lori, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda milik penduduk yang mengusahakan kebun dan kolam ikan di kawasan tersebut.

Seorang lagi penduduk Law Kian Ming, 52, berkongsi cerita ketika kejadian, rakan-rakannya sedang minum dikedai kopi miliknya yang terletak dalam kawasan perumahan di kampung itu kira-kira 10 malam.

"Tiba-tiba kami lihat banyak kereta berpatah balik di hadapan kedai dan kami memanggil rakan-rakan untuk membantu mereka apabila diberitahu laluan dalam itu tidak dapat dilalui kenderaan biasa disebabkan kawasan berbukit dan berbatu.

"Kita menggunakan sebuah jentera backhoe (pengorek kaut) kepunyaan seorang rakan untuk meratakan laluan itu dengan pasir namun ia tidak dapat bertahan lama dan sentiasa perlu diratakan malah hari ini juga kita telah membaiki jalan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Lee Weng Foong, 52, berkata, mereka amat bangga dan tidak menyangka bantuan disalurkan kira-kira 10 orang rakan penduduk Cina di situ ketika kejadian menjadi tular dan mendapat pujian masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kami cuma membantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan mahupun mengira bangsa tetapi senang hati setelah memudahkan masalah dihadapi orang lain.

"Jadi kita sebagai rakyat Malaysia mesti bersatu dan tolong-menolong antara satu sama lain supaya dapat hidup dengan harmoni," katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan perkongsian Zairul Annuar Mohd Zain, 47, yang videonya menggunakan ‘jalan tikus’ di Ladang Bikam ketika menuju ke Kuala Lumpur untuk pulang ke Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu tular di media sosial sejak Ahad lepas.

Ketika kejadian, Zairul Annuar dan isteri serta anak berusia 17 tahun, dalam perjalanan pulang ke Nilai setelah beberapa hari berhari raya di rumah seorang saudara di Ipoh sejak 2 Syawal cuba untuk mengikut cadangan menggunakan jalan dalam dari aplikasi Google Maps dari Gopeng ke Ladang Bikam.

Menurut Zairul Annuar, sekumpulan lelaki kemudiannya menyuruh mereka menunggu sebentar sebelum datang dengan sebuah jentera dan mengorek serta meratakan jalan agak berbukit sehingga rata dan boleh dilalui kenderaan yang sedang menunggu.

Zairul Annuar yang telah dua tahun menetap di Indonesia pulang berhari raya ke Malaysia sejak 1 Syawal lalu berkata, dia berkongsi kisah tersebut di Facebooknya kerana ingin mengucapkan terima kasih kepada kumpulan lelaki berkenaan.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 10 saat dikongsi Zairul Annuar di laman Facebooknya memaparkan perjalanan bersama keluarga melalui ‘jalan tikus’ dari Gopeng ke Ladang Bikam, Perak namun dibantu oleh sekumpulan penduduk berbangsa Cina yang sanggup bergotong-royong membantunya dan pengguna lain pulang berhari raya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28