Mayat lelaki jatuh sungai lari operasi polis ditemui

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa di sungai berdekatan Jalan Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Rabu.
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa di sungai berdekatan Jalan Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tanda tanya kehilangan seorang lelaki dipercayai terjatuh ke sungai ketika operasi polis di Jalan Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang di sini, pada Selasa terungkai apabila ditemukan lemas.

Mayat mangsa berusia 43 tahun itu dijumpai pasukan bomba di sungai itu pada jam 12.16 tengah hari, Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.24 petang Selasa.

"Sepasukan lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerah dalam operasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, operasi dijalankan hasil laporan mengenai seorang lelaki dipercayai lemas ketika operasi tangkapan dilakukan polis.

Beliau memberitahu, usaha pencarian mangsa dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor.

Ahmad Mukhlis memaklumkan, mayat lelaki itu ditemukan pihaknya kira-kira 700 meter dari lokasi mangsa jatuh.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi tersebut dan mayat kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!