Polis rampas pistol berkait kes kematian anak KPD Lahad Datu

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 untuk siasatan dalam kes melibatkan kematian anak Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Sabah.

Bagaimanapun, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung insiden berdarah tersebut dan siasatan pihaknya turut mendapati tiada unsur jenayah.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Tiada tangkapan setakat ini disebabkan tiada unsur jenayah membabitkan orang lain dalam kes ini," katanya pada Rabu.

Tegasnya, proses siasatan berhubung kes itu masih dijalankan.

Menurut beliau lagi, tiga saksi sudah dipanggil bagi memberi keterangan, seterusnya dapat membantu siasatan.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak dapat untuk mendedahkan identiti individu yang telah memberi keterangan.

Shahurinain berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Lahad Datu mendapati sebab kematian mangsa adalah luka ekoran tembakan pada bahagian dada.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tembakan di bahagian dada kanan itu dipercayai turut terkena paru-paru dan tembus di bahagian belakang badan.

"Bedah siasat mendapati hanya ada satu kesan tembakan pada tubuh mangsa," ujarnya.

Terdahulu, anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa berusia 14 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnya pada jam 12.42 tengah hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataannya berkata, mangsa ditemui oleh kakaknya berusia 16 tahun.

Kakak mangsa menemukan adiknya itu terbaring dalam bilik berkenaan selepas pulang dari sekolah.

Ketika kejadian, bapa mangsa berada di Kinabatangan atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!