60 pelajar asnaf, B40 terima bantuan awal pengajian YBR

Wilfred (dua dari kanan) menyampaikan bantuan awal pengajian daripada YBR kepada penerima.
Wilfred (dua dari kanan) menyampaikan bantuan awal pengajian daripada YBR kepada penerima.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 60 pelajar dalam kalangan asnaf dan B40 di Tuaran, Sabah menerima bantuan awal pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi membantu mereka menyambung pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengerusinya, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, inisiatif bantuan tunai itu diberikan bagi mengurangi bebanan kos sara hidup semakin meningkat akibat kemelesetan ekonomi terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Objektif YBR ini untuk memberikan bantuan kewangan kepada penerima yang layak bagi permulaan semester atau menyediakan peralatan pengajian diperlukan kepada golongan berkenaan.

“Semoga inisiatif ini dapat membantu lebih ramai lagi pelajar di luar sana untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tertinggi serta meniup semangat baharu kepada penerima mencapai kejayaan lebih cemerlang.

“Tuaran tergolong antara sembilan daerah termiskin di Malaysia dan diharapkan ia dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa atau individu untuk menyediakan kelengkapan pembelajaran anak-anak sebagai persediaan ke IPT,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran (Pejabat Kiulu) sambil disaksikan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR disempurnakan Wilfred (duduk, tengah) di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran.
Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR disempurnakan Wilfred (duduk, tengah) di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran.

Sebelum ini, seramai 3,580 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.29 juta di seluruh negara pada 2023.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wilfred turut berharap agar usaha itu dikekalkan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dalam pendidikan serta secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh keluarga di kawasan luar bandar.

“Saya amat berterima kasih kepada YBR kerana membantu golongan memerlukan di Tuaran untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik selama dua tahun berturut-turut,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!