Kelewatan projek longkang jejas peniaga kedai makan

Mohd Fairus (kanan) menunjukkan kepada Andansura (kiri) keadaan longkang mengatasi banjir kilat yang sedang dibina di hadapan kedainya di Pantai Pelindung di sini.
Mohd Fairus (kanan) menunjukkan kepada Andansura (kiri) keadaan longkang mengatasi banjir kilat yang sedang dibina di hadapan kedainya di Pantai Pelindung di sini.
A
A
A

KUANTAN - Peniaga kedai makan di Pantai Pelindung di sini mendakwa terjejas disebabkan kerja-kerja pembinaan longkang mengatasi banjir kilat di kawasan itu.

Mohd Fairus Ahamed Kamal, 39, berkata, paling teruk terjejas apabila dia dan tujuh pekerja hilang sumber pendapatan selepas kedai makan yang diusahakan sejak 2016 terpaksa ditutup bermula 25 Disember tahun lalu hingga kini.

Mohd Fairus berkata, kerja-kerja yang dijalankan hampir memaksa dia menghentikan operasi kedai ekoran keadaan yang tidak selamat kepada pelanggan.

"Awalnya projek pembinaan longkang yang dimulakan Julai 2023 dijangka siap sepenuhnya Februari lalu namun sekarang sudah April, kerja-kerjanya masih berjalan.

"Lebih malang lagi apabila saya difahamkan projek itu dijangka akan mengambil masa enam bulan lagi untuk disiapkan sepenuhnya," katanya ketika ditemui di kedainya di sini.

Mohd Fairus berkata, dalam tempoh hampir lima bulan tutup kedai, dia tiada sumber pendapatan malah hampir semua wang simpanan terpaksa digunakan untuk menampung kehidupan dan membayar segala komitmen bulanan.

"Bayaran kereta dan rumah sudah tertunggak dua bulan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fairus (kanan) menunjukkan kepada Andansura (tengah) kerja-kerja pembinaan longkang mengatasi banjir kilat yang sedang dijalankan di hadapan kedainya di Pantai Pelindung di sini.
Mohd Fairus (kanan) menunjukkan kepada Andansura (tengah) kerja-kerja pembinaan longkang mengatasi banjir kilat yang sedang dijalankan di hadapan kedainya di Pantai Pelindung di sini.

"Tujuh pekerja yang direhatkan juga berdepan masalah kewangan ketika ini," keluhnya.

Menurutnya, sekiranya keadaan itu berterusan, dia mungkin berdepan masalah untuk mencari modal bagi memulakan kembali perniagaannya itu atau terpaksa tutup kedai terus.

"Lagipun tidak pasti lagi bila boleh mula berniaga balik, silap-silap tahun depan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd Ramli Abdul Manaf, 63 mendakwa turut terkesan dengan masalah itu.

Menurutnya, walaupun kedai masih boleh dibuka namun pelanggan yang datang berkurangan kira-kira 50 peratus sejak projek tersebut dijalankan.

"Sebelum projek itu dijalankan, pelanggan yang datang hingga jam 11 malam tapi sekarang jam 8 malam sudah sunyi.

"Antara sebabnya jalan masuk agak jauh menyukarkan pelanggan untuk datang," katanya.

Mohd Ramli yang sudah lebih setahun berniaga di situ mengakui pendapatan diperoleh terjejas hingga terpaksa menghentikan dua pekerja.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, masalah yang dihadapi peniaga itu timbul disebabkan kelewatan projek tersebut disiapkan.

Menurutnya, kelewatan itu dipercayai disebabkan perubahan skop projek dan kabel ulititi serta paip air bawah tanah di lokasi itu yang lewat dialihkan.

"Peniaga di sini tiada masalah dengan projek longkang bagi menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan tersebut kerana ia untuk kepentingan rakyat namun pada masa sama perlu mengambil kira kepentingan mereka supaya wujud situasi menang-menang agar tiada pihak yang menjadi mangsa.

"Sebelum ini perjumpaan telah diadakan antara peniaga bersama pihak MBK dan kontraktor untuk cari jalan supaya peniaga di sini tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata, pampasan sewajarnya wajar dipertimbangkan kepada peniaga terlibat mengambil kira kerugian yang terpaksa ditanggung disebabkan kelewatan projek tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!