Mat Yo kongsi ilmu, terokai bidang kejurulatihan

Norshahrul (kiri).
Norshahrul (kiri).
A
A
A

BEKAS pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha akhirnya memilih karier kejurulatihan sebagai cabang baharu berkongsi pengalaman sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya.

Sebagai permulaan, bekas bintang Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dilantik sebagai penolong pengendali skuad Bawah 23 (B-23) Kuala Lumpur City Extension bagi saingan 2024/25.

Menurut Kuala Lumpur City Extension ketika mengesahkan perkara itu menjelaskan keterujaan kelab Lembah Klang menyambar khidmat pemain berusia 38 tahun tersebut dalam barisan jurulatih kelab.

"Lebih mesra di sapa Mat Yo, Norshahrul telah meninggalkan impak yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah bola sepak Malaysia, terutamanya semasa kejayaan Harimau Malaya merangkul Piala AFF Suzuki 2010.

"Terkenal dengan bakat dan tipu muslihatnya yang unik, Norshahrul telah menjadi tonggak bola sepak Malaysia, menyumbang kepada tiga kejuaraan Liga Super, dua Piala Malaysia dan dua Piala FA.

"Pencapaian luar biasa beliau termasuk memperoleh tiga gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak tiga kali berturut-turut," kata Kuala Lumpur City Extension dalam satu hantaran dimuatnaik di media sosial kelab tersebut.

Sebagai rekod, Mat Yo, pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya sebanyak 83 kali, telah menjaringkan 14 gol dari 2007 hingga 2021.

Artikel Berkaitan: