Pan-gon nafi mahu tinggalkan Harimau Malaya

Kim Pan Gon
Kim Pan Gon
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menafikan telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meninggalkan skuad negara selepas tewas dua kali kepada Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Menurutnya, laporan media yang memetik sumber itu adalah tidak tepat selain menegaskan misinya bersama skuad negara masih belum selesai.

"Kenyataan dalam laporan berita tersebut yang dipetik daripada sumber itu sama sekali tidak tepat kerana saya tidak menghantar apa-apa surat berkaitan perkara tersebut.

"Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi menjelaskan mengenai perkara ini dan saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan daripada sumber bahawa Pan-gon dan barisan kejurulatihan bersedia untuk meninggalkan pasukan sekiranya khidmat mereka tidak lagi diperlukan.

Malah, sumber tersebut turut mendakwa bahawa Pan-gon dan barisan kejurulatihan hanya menuntut pampasan gaji selama tiga bulan walaupun kontraknya akan berakhir tahun depan.

Pan-gon berkata, beliau akan terus komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir.

"Misi utama saya adalah untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas ini, skuad negara berdepan tugas berat apabila perlu menang dua perlawanan terakhir menentang Kyrgyzstan di laman lawan dan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!