'Klinik Kasut' sumber rezeki selepas pulang ke kampung

Zainuddin tekun membaiki kasut-kasut pelanggan yang rosak agar ia dapat disiapkan dalam tempoh masa yang dijanjikan selama tiga hari.
Zainuddin tekun membaiki kasut-kasut pelanggan yang rosak agar ia dapat disiapkan dalam tempoh masa yang dijanjikan selama tiga hari.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang bekas pemandu kereta sewa dari Kampung Tanggol, Kuala Berang di sini memutuskan untuk membuka kedai membaiki kasut dinamakan 'Klinik Kasut' selepas pulang ke kampung halaman untuk menjaga ibunya yang sakit.

Zainuddin Ibrahim, 43 berkata, dia pulang ke Terengganu pada 2012 selepas 10 tahun bekerja di Perak demi menjaga ibunya, Mariam Emas, 70-an yang mengalami komplikasi penyakit dan telah meninggal dunia pada 2013.

Menurutnya, sepanjang berada di kampung, dia telah melakukan beberapa pekerjaan namun belum menemui punca pendapatan tetap sehingga membuka kedai membaiki kasut pada 2020.

"Saya belanjakan sekitar RM7,000 untuk membina kedai ini secara berperingkat menggunakan duit simpanan dan saya bersyukur kerana ia dapat beroperasi sebulan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada Mac 2020.

"Dari segi peralatan untuk membaiki kasut tu semua saya dah ada sebab waktu bekerja di Kampar, Perak dulu saya ada pengalaman membaiki kasut dan telah menjaga sebuah kedai baiki kasut sejak 2008.

"Saya buat kerja ini selepas menuntut ilmu jahitan daripada seorang tukang kasut di sana. Sebelum ni macam-macam juga kerja saya buat tak kira siang dan malam," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini pada Selasa.

Zainuddin yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik berkata, dia tidak menyangka ilmu jahitan kasut yang dipelajari selama hanya seminggu itu akhirnya menjadi sumber pendapatannya sehingga kini.

Zainuddin berdiri di hadapan kedainya yang beroperasi di Kampung Tanggol, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Zainuddin berdiri di hadapan kedainya yang beroperasi di Kampung Tanggol, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya saya sendiri pun tak sangka perkhidmatan baiki kasut yang saya sediakan ini mendapat sambutan ramai bukan sekadar di kampung ini sahaja malah saya pernah dapat pelanggan paling jauh dari Kuantan, Pahang.

"Selain itu, ada juga pelanggan dari Kuala Terengganu, Marang dan penduduk setempat dari daerah Hulu Terengganu," ujarnya yang masih belum mendirikan rumah tangga.

Ditanya mengenai nama Klinik Kasut yang diberikan untuk kedainya itu, Zainuddin berkata, ia merupakan gelaran paling sesuai kerana setiap kasut yang ingin dibaiki mempunyai kerosakan yang berbeza.

"Kasut ni macam orang sakit yang datang ke klinik dengan pelbagai masalah kesihatan. Ada yang batuk, selesema, demam. Begitu juga dengan kasut. Ada banyak jenis kasut dengan kerosakan berbeza.

"Biasanya saya beri tempoh masa untuk pelanggan tunggu saya baiki kasut ini selama tiga hari dan bayaran upah bermula RM8 hingga RM90, bergantung kepada jenis kasut dan kerosakan yang dialami, "katanya yang mampu membaiki 10 pasang kasut dalam tempoh sehari.

Menurut Zainuddin, peningkatan permintaan untuk membaiki kasut diterima selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri pada Rabu minggu lalu.

"Masa bulan puasa dulu tak ramai yang keluar rumah untuk baiki kasut. Bila nak raya saya memang tak buka kedai dan buat masa sekarang ini permintaan semakin meningkat termasuk mereka yang meminta untuk baiki kasut raya yang rosak.

"Untuk kasut raya tu biasanya ada pelanggan yang beli kasut baharu tetapi jahitan atau gam yang tidak begitu kukuh menyebabkan ia terbuka," ujarnya.

Khairul Anuar (kanan) yang merupakan pelanggan setia Klinik Kasut menunggu Zainuddin menyiapkan kerja-kerja mambaiki kasut yang dihantar ke kedai berkenaan.
Khairul Anuar (kanan) yang merupakan pelanggan setia Klinik Kasut menunggu Zainuddin menyiapkan kerja-kerja mambaiki kasut yang dihantar ke kedai berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cabaran sepanjang 16 tahun menjadi tukang kasut, Zainuddin berkata, cabaran utama dialami ialah pelanggan yang tidak kembali untuk mengambil kasut yang dihantar untuk dibaiki.

"Saya sendiri sudah beberapa kali terkena situasi ini di mana pelanggan terus senyap selama bertahun-tahun tidak hubungi kita selepas hantar kasut. Saya pun silap kerana tidak simpan nombor telefon pelanggan terbabit.

"Kalau kasut baharu kita boleh jual tetapi kalau kasut yang tiada harga di pasaran dan tiada siapa yang mahu memang saya terpaksa buang kerana saya perlukan ruang untuk letak kasut-kasut baharu sampai untuk dibaiki.

"Kalau fikirkan rugi tu memang rugilah sebab kos untuk baiki tu kita keluarkan modal untuk beli barang-barang yang kini semakin hari semakin mahal malangnya ia 'hangus' begitu sahaja" katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap Klinik Kasut, Khairul Anuar Mohd Zin, 35 berkata, dia tidak pergi ke kedai baiki kasut yang lain kerana berpuas hati dengan kualiti kerja dilakukan Zainuddin.

"Bila saya pakai kasut yang telah dibaiki Zainuddin adalah beberapa kawan tanya baiki di mana sebab nampak jahitannya kemas. Saya pun sarankan agar mereka ke Klinik Kasut.

"Saya sendiri rasa seronok sebab dapat promosi perkhidmatan ini kepada kawan-kawan," katanya yang berasal dari Kampung Kuala Kejir, di sini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28