[VIDEO] Gelombang ketiga: Dungun dan Hulu Terengganu paling terjejas

A
A
A

HULU TERENGGANU - Gelombang ketiga banjir di Terengganu yang berlaku sejak petang Sabtu lalu masih terkawal dan mangsa yang terjejas banjir telah membuat persediaan awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di enam daerah di negeri itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, gelombang banjir kali ini menyaksikan daerah Dungun dan Hulu Terengganu antara yang terjejas dengan mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi.

"Kalau kita lihat kawasan yang terlibat dengan banjir gelombang ketiga ini agak berbeza jika dibandingkan dengan gelombang pertama dan kedua.

"Gelombang ketiga ini kawasan terjejas melibatkan daerah Dungun dan Hulu Terengganu yang mana melibatkan kawasan bahagian hulu iaitu di kawasan hulu Dungun dan hulu Kuala Berang," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Hassan dalam sidang media pada Isnin.
Hassan dalam sidang media pada Isnin.

Menurut Hassan, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan gelombang ketiga banjir di Terengganu bermula pada 23 hingga 25 Disember.

"Jika berdasarkan apa yang dijangka, sepatutnya sudah nampak perubahan cuaca di mana bahagian pinggir pantai sudah nampak agak cerah dan taburan hujan juga berkurangan.

"Bagaimanapun, berbeza dengan dua kawasan ini. Walaupun ramalan menunjukkan hujan berlaku renyai-renyai sahaja, kita dapati hujan masih lagi lebat di beberapa kawasan menyebabkan jumlah mangsa yang berpindah ke PPS bertambah dari semasa ke semasa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memuji tahap kepatuhan penduduk di kawasan terjejas banjir yang segera berpindah ke PPS setelah kawasan mereka berisiko dinaiki air.

"Saya memuji sikap penduduk Terengganu yang tahap kesedaran cukup tinggi di mana mangsa terlibat banjir berpindah ke PPS sendiri sebelum air naik lebih tinggi ke kawasan rumah atau lingkungan kawasan terlibat banjir di kediaman mereka.

"Langkah ini amat membantu pihak keselamatan dalam usaha memindahkan mangsa banjir ke lokasi selamat. Kita harap sikap positif yang begini terus dikekalkan pada masa akan datang," ujarnya.

Hassan (kiri) bertemu mangsa banjir di PPS Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.
Hassan (kiri) bertemu mangsa banjir di PPS Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.

Setakat jam 2 petang Isnin, seramai 2,642 mangsa banjir dari 754 keluarga dipindahkan ke 53 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di enam daerah negeri itu.

Daerah Dungun merekodkan mangsa banjir tertinggi seramai 1,220 orang diikuti Hulu Terengganu (728), Kemaman (361), Setiu (215), Besut (106) dan Marang (12).