Gagal kawal emosi, amarah akhirnya membawa padah

Kegagalan sesetengah individu mengawal emosi dan perasaan marah sehingga melakukan perkara di luar jangkaan seperti membunuh membawa padah apabila terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Kegagalan sesetengah individu mengawal emosi dan perasaan marah sehingga melakukan perkara di luar jangkaan seperti membunuh membawa padah apabila terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan sesetengah individu mengawal emosi dan perasaan marah sehingga melakukan perkara di luar jangkaan seperti membunuh membawa padah apabila terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian tersendiri tetapi masih ada yang mengambil keputusan untuk tidak menyelesaikannya secara baik, malah bertindak agresif hingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Kes seperti ini sudah sering kali kita dengari di media sosial, televisyen atau pun topik perbualan antara komuniti setempat kerana ia bukan sekali dua berlaku berlaku tetapi berulang kali.

Sinar Harian pada Ahad lalu baharu sahaja melaporkan satu insiden tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipercayai cubaan seorang suami membunuh isterinya, Farah Md Isa atau Farah Cie.

Bagaimanapun tembakan suspek, Hafizul Harawi, 38, tersasar tetapi terkena seorang pengawal peribadi wanita berkenaan yang dilapor mengalami kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Susulan itu mangsa, Muhammad Nur Hadith Zaini, 37, atau lebih dikenali sebagai Along telah menjalani pembedahan di bahagian usus bagi melihat keadaan organ yang lain termasuk buah pinggang dan sebagainya.

Sementara itu pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa suspek berjaya diberkas di Kota Bharu, Kelantan selepas melarikan diri lebih daripada 24 jam.

Siasatan polis mendapati kejadian bermotifkan perihal peribadi membabitkan suspek dan isterinya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 16 sehingga 22 April.

Perintah reman yang dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Turut dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 (memiliki kad pengenalan individu lain) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menggunakan nombor plat kenderaan palsu).

Dalam pada itu, suspek sempat memaklumkan sepintas lalu kepada media bahawa dia memerlukan tujuh peguam untuk mewakilinya dalam kes tersebut.

Walaupun kes belum selesai sepenuhnya tetapi setiap perkara dan akibat daripada tindakan tanpa berfikir panjang sudah memakan diri kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai prosedur berdasarkan undang-undang.

Kehidupan bebas daripada sebarang masalah besar, kini terpaksa dihadapi dengan penuh penyesalan yang tidak akan memberi sebarang perubahan kerana perkara sudah terjadi.

Bak kata pepatah 'nasi sudah menjadi bubur' dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan selain daripada berserah kepada ALLAH untuk proses seterusnya.

Bagaimanapun, suka untuk penulis ingatkan kepada orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut kerana bimbang akan mengganggu proses siasatan PDRM.

Ingatlah bahawa setiap tindakan luar kawalan dan kegagalan mengawal emosi akan membawa padah di kemudian hari kerana setiap perkara atau masalah yang berlaku sudah pasti ada jalan penyelesaiannya sama ada secara peribadi atau merujuk kepada individu lebih pakar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!