Tunku Ismail dermakan rumput hibrid kepada Stadium Nasional Bukit Jalil

Rumput hibrid yang ketika ini ditanam di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos akan didermakan kepada Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rumput hibrid yang ketika ini ditanam di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos akan didermakan kepada Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan mendermakan rumput hibrid yang ketika ini sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional Bukit Jalil.

JDT dalam satu kenyataan berkata, hasil kaji selidik yang dijalankan di padang Stadium Nasional menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih sesuai ditanam di venue keramat Harimau Malaya itu.

"Ia memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

"Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh Kelab Bola Sepak JDT di Larkin, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional.

"Inisiatif itu dititahkan oleh Baginda selepas mengadakan pertemuan bersama YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan serta Datuk Seri Windsor John, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," kata kenyataan itu dalam laman Facebook mereka pada Selasa.

Sebelum ini, Tunku Ismail turut menaja penukaran rumput di Stadium Nasional daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.

Namun, keadaan padang yang digunakan bukan hanya untuk acara sukan menyebabkan rumput Zeon Zoysia itu sering mengalami kerosakan.

Dalam pada itu, rumput Zeon Zoysia yang sebelum ini ditanam di Stadium Nasional akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara.

Artikel Berkaitan:

"Padang tersebut sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak negara," katanya.