Padang Stadium Nasional Bukit Jalil rosak, PSM buat siasatan dalaman

Keadaan padang ketika hujan lebat sebelum aksi final Piala Malaysia antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu. - Foto Bernama
Keadaan padang ketika hujan lebat sebelum aksi final Piala Malaysia antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah mengadakan tinjauan ke Stadium Nasional pada Isnin lalu bagi mengenal pasti punca-punca kerosakan di beberapa bahagian terutama di tengah padang.

“Semalam (Isnin) saya telah menghabiskan satu hari untuk menjalankan internal inquiry (siasatan dalaman) bagi mencari punca masalah yang kita hadapi dalam penyediaan padang bagi (aksi final) Piala Malaysia.

“Laporan sedang disediakan... nantikanlah keputusan yang akan diambil PSM,” kata Hannah kepada pemberita di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Kuala Lumpur pada Rabu.

Hannah
Hannah

Sejak beberapa minggu lalu, isu padang Stadium Nasional yang rosak menjadi bualan hangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Keadaan padang yang rosak itu dikatakan berpunca selepas penganjuran konsert kumpulan terkemuka, Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.

Lebih mengecewakan apabila aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada Jumaat lalu dilangsungkan dalam keadaan padang yang 'belum sempurna' sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, padang baharu Stadium Nasional yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia itu adalah tajaan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Padang baharu Stadium Nasional yang menelan kos RM1.4 juta itu mula digunakan secara rasmi pada saingan Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

Sehari sebelum aksi final Piala Malaysia, PSM tampil mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada JDT dan TFC kerana tidak dapat mengembalikan padang pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, Hannah melahirkan rasa lega apabila terus diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Seperti mana yang kita ketahui, 2024 adalah tahun penting buat belia dan sukan dengan program Rakan Muda dan temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi fokus utama KBS.

“Rasa lega kerana sudah berbulan-bulan orang cakap pasal rombakan Kabinet ini, sekarang kita boleh bergerak dan teruskan kerja kita,” jelasnya.

Bagi menerajui KBS, Hannah akan terus dibantu timbalannya, Adam Adli Abd Halim yang turut kekal menggalas portfolionya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan dengan menyaksikan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri termasuk empat muka baharu.